BERCERITA mengenai rokok, kita tentu terbayang banyak jenama
rokok di pasaran memandangkan setiap negara mempunyai jenama sendiri.
Mengimbau iklan rokok Malboro Man - lelaki berpakaian koboi
dengan sebatang rokok di tangan menunjukkan 'kehebatan'.
Tapi tidak ramai tahu tiga lelaki yang terlibat dalam iklan
Malboro Man - Wayne McLaren, David McLean dan Dick Hammer meninggal dunia
akibat kanser paru-paru.
Budaya merokok dibawa ke Eropah pada abad ke-16, kemudian
menjadi kebiasaan dalam kalangan bangsawan.
Di Amerika Syarikat pula, puak Red Indian merokok untuk acara
pemujaan dan bukan menunjukkan kehebatan.
Walau untuk tujuan apa pun, hakikatnya merokok menimbulkan
banyak masalah bukan saja dari segi kesihatan bahkan kehidupan sosial.
Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan
kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.
Daripada nikotin, tar, sianida, benzena, cadmium, metanol,
asetilena, amonia, formaldehid, hidrogen sianida, arsenik sehinggalah karbon
monoksida.
Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar
mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen
iaitu pencetus kanser.
Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut
dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke
tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.
Aceton dan toluidine - yang juga terdapat dalam rokok pula
biasanya digunakan masing-masing sebagai penanggal cat dan pelarut industri
antaranya terdapat dalam pencuci lantai.
RoketMetanol pula terdapat dalam bahan api roket; napthalene
adalah ubat gegat; DDT ubat pembunuh serangga manakala butane biasa digunakan
dalam pemetik api.
Menurut Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman
Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju, kanser pertama kali dikaitkan dengan merokok
pada 1964.
"Bagaimanapun mekanisme sebenar mengaitkan merokok dan
kanser masih belum diketahui," katanya semasa ditemui di pejabatnya di
Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, nikotin dan tar yang terdapat dalam rokok adalah
faktor yang mengganggu fungsi paru-paru.
Biasanya, apabila pesakit didiagnosis dengan kanser
paru-paru, masanya sudah terlambat kerana penyakit telah sampai ke peringkat
serius.
"Ubatnya mudah. Jauhi rokok, arak dan jaga pemakanan.
"Penyakit menjadi kronik jika seseorang itu merokok dan
mengambil pula alkohol serta tidak menjaga pemakanan," kata Dr. Selvaraju
yang masih sihat biarpun sudah berusia lebih 70 tahun. Mengikut anggaran, 20
juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.
Tambah Dr. Selvaraju, semasa usia remajanya sekitar 1950-an
amat sukar melihat orang menghisap rokok kerana ia bukan budaya Asia.
"Tetapi sekarang saya lihat kadangkala satu keluarga
menghisap rokok," katanya kesal.
Dalam hal ini, beliau menyalahkan iklan sebagai penyebab
remaja terdedah dengan budaya merokok.
"Biasanya perokok yang merokok lebih 15 tahun, kelihatan
normal semasa ujian kesihatan kerana sel kanser tidak kelihatan.
Ini kerana apabila berlaku 'kesilapan' dalam badan, tubuh
masih boleh bertahan sehingga 80 peratus.
"Selepas tahap itu, barulah badan bertindakbalas
menyebabkan pengesanan terlewat," katanya.
Menurutnya, seorang pesakitnya yang pernah dinasihatkan agar
berhenti merokok datang semula kepadanya selepas 15 tahun kerana batuk
berpanjangan, kahak berdarah dan berat badan menyusut.
"Dia didiagnosis kanser paru-paru pada peringkat lewat.
"Tiada apa yang boleh dilakukan selain kemoterapi dan
pembedahan di samping menjaga kesihatan kerana sistem badan tidak lagi
berfungsi seperti biasa," katanya.
RadangDr. Selvaraju berkata, majoriti perokok menghidap
radang paru-paru atau bronkitis menyebabkan sesak nafas dan batuk berpanjangan.
Apa yang menyedihkan, perokok pasif atau mereka yang tidak
merokok tetapi dikelilingi perokok - juga boleh mendapat kanser kerana sering
menghidu asap rokok.
"Sebenarnya lebih bahaya dikelilingi oleh perokok
berbanding anda sendiri yang menjadi perokok," katanya.
Bagi perokok aktif, menurut beliau, kesannya akan dirasai
mereka biasanya selepas 15 tahun. "Mereka akan terdedah kepada lebih 20
penyakit kronik yang terdiri daripada pelbagai jenis kanser antaranya pundi
kencing, perut, usus dan rahim, mulut, esofagus, tekak, pankreas, payudara dan
paru-paru.
"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran
pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," ujarnya.
Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid
awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot
lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.
Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang
dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit
jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau
pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala.
No comments:
Post a Comment