SERANGAN
jantung boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi banyak kes dicatatkan berlaku
pada waktu malam terutama ketika tidur. Tidak hairanlah jika kita sering
mendengar atau membaca kisah orang meninggal dunia ketika tidur akibat serangan
jantung.
Semua orang
tahu penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara kita dan perunding
kanan kardiologi intervensi, Datuk Dr Devan Pillaay berkongsi cerita mengenai
peristiwa berkaitan serangan jantung dan prosedur rawatannya.
Diharap dengan memahami apa yang berlaku akan membantu mengurangkan kebimbangan kita sebagai pesakit. Malah ia juga diharap dapat meredakan perasaan ahli keluarga yang cemas menunggu.
PANTAS...pasukan
Kardiologi Intervensi lakukan persediaan rawat pesakit jantung.
MODEN...pembedahan
dilakukan dengan berpandukan gambar pada skrin monitor.
DR
DEVAN...tekun lakukan proses angioplasti.
Baru-baru
ini, pada jam 3 pagi, jabatan kecemasan menerima panggilan telefon, seorang
lelaki berusia 42 tahun dari Kajang, Selangor, mengalami serangan jantung.
Ambulans dihantar untuk membawa beliau ke hospital.
Sebaik saja
ambulans mengharungi jalan yang basah, satu lagi situasi berlaku di tempat
lain. Pasukan kardiak yang menerima panggilan kecemasan itu terus bangkit dari
tidur, menukar pakaian, mengambil kunci kereta dan bergegas keluar. Ia mesti
dilakukan secepat mungkin kerana sebarang kelewatan akan memburukkan lagi
keadaan.
Seperti
pepatah dalam dunia kardiologi, ‘Masa ialah Otot’, jadi setiap minit yang
berlalu akan mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada otot
jantung. Kekuatan jantung dan keupayaannya untuk terus berdenyut menyusut
setiap saat. Pendek kata, ia adalah situasi genting; antara hidup atau mati.
Pada 3.30 pagi, ketua juruteknik kardiak, Mahat Sapion dan jururawat kanan kardiak Cath Scrub, Noor Hayati Ali sudah pun bersedia menunggu ketibaan pesakit itu. Mereka melihat jam. Tempoh masa panggilan kecemasan diterima sehingga darah beku dipecahkan dikenali sebagai masa ‘call to balloon’. Sebaik-baiknya ia mesti kurang 150 minit. Semakin pendek tempohnya, semakin baik untuk pesakit.
Walaupun tempoh itu dirasakan agak panjang, dalam situasi begini waktu berlalu dengan sangat pantas. Mengangkat pesakit masuk dan keluar dari ambulans pun akan mengambil masa.
Akhirnya pancaran lampu biru ambulans kelihatan. Ambulans berkenaan berhenti dan pekerja dengan pantas mengangkat pesakit keluar. Pesakit yang berselimut dan memegang topeng oksigen di mukanya kelihatan kebingungan.
Kakitangan kecemasan dengan segera berada di sisi pesakit untuk memastikan dan menjelaskan apa yang sedang berlaku kepadanya. Pegawai perubatan kecemasan yang bertugas pula memastikan keadaannya stabil dan mendapatkan kebenaran pesakit untuk menjalankan prosedur rawatan.
Selepas itu, semuanya berlaku dengan pantas tetapi terkawal. Kakitangan kecemasan membawa pesakit ke makmal Pengkateteran Jantung (cathlab). Wajah pesakit nampak ketakutan dan matanya kelihatan besar. Kemungkinan pesakit mengalami kesakitan yang dahsyat. Monitor kardiak berbentuk seperti beg mudah alih yang dibimbit oleh kakitangan kecemasan dipasang pada pesakit untuk merekodkan segala tanda penting.
Masa terus berlalu. Akhirnya kakitangan sampai ke cathlab. Di sini pasukan Kardiologi Intervensi yang terdiri daripada Dr Devan, juru radiografi, Hanafes dan jururawat kanan pengkateteran jantung, Yati dan Parames. Mereka masing-masing mempunyai peranan penting untuk dimainkan.
Ini adalah kes kecemasan kedua yang ditangani pada hari itu. Mereka baru saja pulang ke rumah selepas selesai kes yang pertama pada jam 11 malam dan sekarang, empat jam kemudian, mereka kembali ke hospital untuk satu lagi pembedahan yang memerlukan kemahiran tinggi.
Sebaik saja pesakit dibawa masuk, pasukan kecemasan terus mengelilinginya dan sibuk menjalankan kerja masing-masing sementara pesakit dibaringkan di atas sebuah meja kecil. Sejurus selepas itu, sebatang kateter (tiub anjal yang nipis dan panjang) dimasukkan ke dalam salur darah arteri dalam pergelangan tangan pesakit dan disalurkan ke atas sehingga ke lengan dan ke dalam jantungnya.
Pewarna legap radio dipam ke dalam saluran darah arteri dan suatu imej sinar-x hitam putih muncul di atas skrin. Kelihatan tulang rusuk dan tulang belakang pesakit, sementara jantungnya nampak seperti gumpalan kelabu dengan rangkaian salur darah yang halus yang dapat dilihat melainkan selepas pewarna mengalir melaluinya.
Dengan memakai kot yang dilapik plumbum, Dr Devan mencari darah beku yang menyebabkan serangan jantung itu. Tiba-tiba ia jelas kelihatan walaupun pada pandangan orang yang tidak terlatih. Terdapat satu gumpalan pekat dan gelap yang menghalang pengaliran darah ke kawasan dalam jantung.
Selepas melepaskan sekatan berkenaan, skrin sinar-x menunjukkan hasil dengan serta merta. Darah kembali mengalir ke jantung pesakit, melegakan kesakitan dahsyat yang sedang dialaminya. Prosedur ini dilengkapkan dengan memasukkan stent (tiub wayar jejaring) ke dalam arteri yang tersumbat tadi untuk memastikan saluran darah ini kekal terbuka sepenuhnya.
Pesakit yang sedar tetapi dilalikan secara ringan sepanjang prosedur bergerak sedikit ketika stent dimasukkan kerana berasa kurang selesa. Dengan kemasukan stent, prosedur sudah berjaya. Bahaya sudah dihindari dan prosedur itu mengambil masa satu jam.
Seketika kemudian, pesakit dapat duduk di katil tetapi kelihatan lemah. Namun begitu, semua kesakitan, rasa terkejut dan ketakutan lenyap dari raut wajahnya.
Kata Dr Devan, walaupun kes ini agak biasa, kadangkala boleh berlaku komplikasi. Sesetengah pesakit mengalami tekanan darah rendah, yang lain pula mengalami gangguan denyutan jantung dan kadang-kadang berlaku kesukaran untuk memasukkan arteri melalui pergelangan tangan. Dalam beberapa kes, bantuan tekanan darah menggunakan pam belon dan inotrop mungkin diperlukan. Perentak jantung sementara mungkin perlu dimasukkan ke dalam pesakit jika dia mengalami degupan jantung yang sangat lemah.
Walaupun perkembangan penyakit jantung boleh mengambil masa beberapa bulan atau tahun, darah beku boleh berlaku dalam masa beberapa minit. Kita tidak boleh bersikap sambil lewa tentang risiko penyakit jantung.
Pada jam 5 pagi pesakit dibawa keluar ke unit penjagaan koronari. Hujan sudah berhenti dan Kuala Lumpur mula bangun tanpa menyedari drama yang berlaku di hospital ini beberapa jam yang lalu. Bagi pasukan inilah tugasan harian mereka.
Hakikatnya, satu nyawa berjaya diselamatkan kerana keajaiban perubatan moden.
Pun begitu, kita tidak boleh bergantung kepada rawatan saja kerana ada banyak kes pesakit tidak dapat diselamatkan kerana meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital. Jadi, ambillah langkah pencegahan dengan mengamalkan gaya hidup aktif dan paling penting, jaga pemakanan.
No comments:
Post a Comment