SEPANYOL membuktikan mereka adalah kuasa bola sepak dunia,
yang mungkin telah menenggelamkan populariti Brazil.
Apa yang menarik tentang Sepanyol? Mereka memiliki
kesebelasan individu berskil tinggi tetapi mengetepikan ego masing-masing untuk
bermain secara berpasukan. Tidakkah ini penting.
Jerman, England, Itali dan Perancis adalah nama-nama besar
dalam bola sepak Eropah, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat La
Roja yang yakin kepada kemampuan sendiri.
Bukankah menyarung jersi kebangsaan itu satu kebanggaan? Ya.
benar. Berapa ramaikah pemain di negara kita memiliki `roh’ tersebut - yakni
berjuang demi negara.
Lihatlah sahaja wajah kesebelasan La Roja atau mungkin
pasukan-pasukan lain, jerit perih mahu menobatkan nama negara dapat dilihat
daripada riak dan ekspresi wajah di atas padang.
Apa rahsia Sepanyol? Jawapannya banyak. Yang penting setiap
pemain Sepanyol menguasai teknik bola sepak dengan baik dan bermain dengan
pemikiran terbuka.
Taktikal adalah isu yang dilontarkan oleh Vincent Del Bosque
ke dalam skuad Sepanyol. Tengok sahajalah lawan mereka yang tewas kepada
strategi walaupun memiliki pemain bintang.
Mengapa kita terlalu bergantung kepada penyerang untuk
menyumbat gol? Sepanyol melihatnya sebagai gaya konvensional.
Mereka bermain silap mata. Penyerang seperti Fernando Torres
dan Cesc Fabregas hanyalah umpan (walaupun mampu menjaringkan gol) kerana tugas
merobek gawang di bahu rangkaian midfielder mahupun attacking defender. Hebat.
Inilah kreativiti. Lihat nasib yang menimpa Belanda.
Kegelojohan untuk mempamerkan skil akhirnya makan diri - Oranje tersingkir
dalam keadaan yang sangat memalukan.
Ada orang kata, masalah ketinggian adalah halangan kita.
Betul ke? Bagaimana dengan Sepanyol yang memiliki purata ketinggian 180
sentimeter. Tinggi sangatkah David Silva?
Liga tempatan yang kompetitif dan berkualiti juga adalah
kunci kepada melahirkan pemain-pemain yang hebat untuk mengisi skuad negara.
Apabila liga tempatan menarik, stadium akan penuh dan barulah
boleh kita katakan bola sepak juga karier yang mampu menjamin masa depan.
Semuanya tentang pemain, jurulatih bagaimana? Ini adalah
persoalan melibatkan ego.
Bukan semua jurulatih bagus. Kadang-kala ada jurulatih bagus
tetapi pemain tidak berupaya menterjemahkan yang dikehendaki bos mereka.
Miliki lesen A kejurulatihan tidak bermakna seseorang
jurulatih itu mampu merealisasikan impian majikan.
Pada pandangan penulis, jurulatih yang bagus ialah mereka
yang mampu mempelbagaikan corak permainan berlandaskan strategi dan kreativiti.
Del Bosque dan Joachim Loew misalnya gemar berfikir di luar
kotak pemikiran, malah tidak mahu terikat dengan kaedah konvensional,
berbanding England dan Portugal atau paling teruk Belanda.
Taktikal adalah jalan cerita yang akhirnya bakal menentukan
sama ada sesebuah pasukan itu mampu meneruskan perjuangan atau sebaliknya.
Kejohanan Euro adalah pentas pertempuran yang penuh dengan
muslihat. Inilah bola sepak moden yang dapat membezakan kualiti setiap pasukan.
Apa salahnya, jika ada usaha pihak tertentu menjemput
jurulatih berkaliber dari Eropah untuk berkongsi idea dan pemikiran dengan
jurulatih tempatan demi pembangunan bola sepak negara.
Kalau tidak silap penulis, inilah yang dilakukan oleh
pengurus Real Madrid, Jose Mourinho selepas berakhir musim dengan memenuhi
jemputan daripada banyak negara untuk memberi ceramah dan berkongsi idea dengan
jurulatih-jurulatih tempatan, antaranya Singapura.
No comments:
Post a Comment