DARI kiri, Gerard
Pique, Pepe Reina, Fernando Llorente dan Casillas meraikan kejayaan Sepanyol
menjuarai Euro 2012 awal pagi semalam.
KIEV, Ukraine - Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas
menegaskan bahawa tempoh empat tahun terakhir ini merupakan detik yang paling
indah dalam kehidupannya.
Casillas menyuarakan pendapat itu selepas mencipta sejarah
menjadi kapten pertama yang memenangi tiga final berturut-turut iaitu Euro
2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.
Pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi semalam,
pemain berusia 31 tahun itu berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya
Itali.
Kehebatan Casillas membantu skuad La Roja menjadi
negara pertama yang menjulang trofi Eropah buat kali kedua berturut-turut selepas
menewaskan Itali 4-0.
Empat tahun lalu, Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 untuk
menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun.
"Ia merupakan saat yang paling indah. Gol kedua daripada
Jordi (Alba) menambah keyakinan kami.
"Empat tahun yang hebat (muncul juara Euro 2008, Piala
Dunia 2010 dan Euro 2012). Anda mungkin berfikir ia mudah kerana kami
menewaskan Itali 4-0 tetapi untuk melakukannya kami perlu membuat persediaan
yang lama," katanya.
Namun, di sebalik kejayaan itu, Sepanyol dan jurulatihnya,
Vicente del Bosque dikritik hebat kerana beraksi pada kejohanan ini tanpa
penyerang utama.
Bagaimanapun, Fernandos Torres yang masuk menggantikan Cesc
Fabregas berjaya menyumbang gol ketiga pasukan dan melakukan hantaran menarik
untuk disempurnakan Juan Mata.
"Pasti ada kritikan sama ada kami berada di atas seperti
hari ini atau prestasi pasukan jatuh.
"Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan
pemain-pemain terbaik dan menggunakan kelebihan mereka sebaik mungkin. Mereka
(skuad Itali) semakin keletihan.
"Kami boleh berehat dan meraikan kejayaan ini
bersama-sama," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment