expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 14 July 2012

Fail perubatan Arafat didedah


















Gambar fail pada 29 Oktober 2004 ini menunjukkan Arafat diiringi Suha, isteri beliau meninggalkan pejabatnya di Tebing Barat sebelum berlepas ke Perancis.


RAMALLAH - Fail perubatan mengandungi maklumat sulit berhubung punca kematian misteri bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat didedahkan untuk pertama kali menerusi laman sesawang yayasan beliau, kelmarin.


Menurut laporan itu, Arafat sebenarnya mengalami krisis kesihatan mengejut, sebulan sebelum beliau meninggal dunia pada 11 November 2004 semasa berumur 75 tahun.


Kumpulan pakar dari negara Arab yang merawatnya selama 18 hari di Tebing Barat sebelum dipindahkan ke hospital di Perancis pada 29 Oktober 2004, mendapati bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tersebut jatuh sakit akibat serangan radang usus dan perut.


Penyakit itu didiagnosis berdasarkan simptom seperti muntah dan cirit-birit kronik yang dialaminya.


Namun, berdasarkan laporan doktor di hospital tentera Perancis tersebut, Arafat mengalami masalah batu hempedu dan penyakit sopak (vitiligo).


Difahamkan, pemimpin yang berjuang selama berdekad menentang kezaliman rejim Zionis itu juga tidak diserang penyakit kronik golongan seusianya seperti diabetis.


Beliau juga tidak merokok tetapi ada mengambil sejenis ubat yang tidak dijelaskan secara lanjut.


"Arafat meninggal dunia akibat strok dan masalah penggumpalan saluran darah (DIC)," menurut laporan perubatan di Perancis tersebut.


Bagaimanapun, mereka tidak memberi butiran lanjut mengenai punca yang menyebabkan masalah DIC itu yang biasanya berlaku akibat jangkitan pada hati.    


Kematian misteri Arafat menjadi topik hangat untuk diperkatakan semula selepas laporan makmal di Switzerland mendedahkan hasil kajian mereka mendapati beliau meninggal dunia akibat diracun dengan polonium-210 (bahan radioaktif semula jadi membebaskan sinaran alfa berbahaya) pada tahap sangat tinggi.


Pendedahan itu menyebabkan beberapa pihak mula menuding jari, sekali gus menuduh Israel sebagai pihak bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat tersebut.


Dalam satu kenyataan, Menteri Keadilan, Ali Mohanna berkata, Nasser al-Kidwa, anak saudara kepada Arafat turut menuntut laporan penuh berhubung keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh Institut Radiasi Fizik Switzerland sebelum sebarang tindakan termasuk menggali semula kubur bapa saudaranya diputuskan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com