expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 9 July 2012

Gaya hidup punca tubuh menawan




KUALA LUMPUR: Individu yang terlalu taksub kecantikan dinasihat menggunakan cara lebih efektif mendapatkan kulit serta tubuh badan sihat dan menawan, berbanding melakukan pembedahan dan suntikan hingga memudaratkan.


Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hussain Habil berkata, antara pendekatan yang diamalkan tidak merokok, bersenam, mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, selain memperbanyakkan aktiviti riadah.


“Cara ini lebih selamat dan berkesan. Sayangnya, ramai terlepas pandang serta mentaliti masyarakat kita yang sentiasa mahukan benda segera dan tidak bersabar.


“Lumrah dunia, ramai mahu kelihatan sentiasa muda, namun fitrah semula jadi, kita pasti akan tua. Cuma ada cara lebih efektif untuk melambatkan penuaan,” katanya.


Beliau berkata, suntikan ke dalam anggota tubuh boleh memudaratkan jika si pemakai tidak tahu isi kandungan sebenarnya.


“Kajian membuktikan suntikan vitamin mahupun kolagen mampu membuatkan buah pinggang rosak, di samping berisiko mendapat kanser kulit.


“Ini kerana kandungan bahan kimia pada cecair itu berbahaya. Kita ada kala tidak tahu berapa peratus kandungan kolagen sebenar atau tiruan dalam cecair yang bakal disuntik pada wajah atau badan.


“Ia bukan saja memudaratkan, malah membuang duit, masa dan tenaga,” katanya Beliau mengulas tindakan segelintir individu yang semakin ligat membuat suntikan dan pembedahan, termasuk di punggung, bagi mendapatkan tubuh badan menawan tanpa memikirkan risiko bakal ditanggung.


Katanya, pengaruh media juga antara faktor yang menyumbang kepada gejala ini berikutan iklan yang menekankan bentuk badan langsing terlalu banyak di pasaran.


“Kita lihat sama ada di media cetak atau elektronik, semua memaparkan imej individu bertubuh cantik dan berkulit mulus. Cara ini secara tidak langsung mendorong individu yang merasakan mereka bermasalah melakukan suntikan.


“Ada kala apabila terlalu ghairah, ada yang tidak mengira hukum dan menghalalkan cara. Bagi saya, apabila bertekad melakukan suntikan atau perubahan pada tubuh atau muka, mereka juga harus bersedia berdepan risiko jangka panjang yang akan memudaratkan.


“Ramai tidak nampak kesan jangka panjang apabila melakukan suntikan pada kulit. Yang mereka tahu hanya mahu cantik dan kesan jangka pendek yang cepat,” katanya.


Katanya, ia berpunca daripada tindakan kawan yang suka mengejek atau memberi pendapat negatif hingga mereka rasa tercabar. , seterusnya memilih jalan singkat dengan membuat suntikan meskipun berisiko.


Apapun, katanya, masyarakat seharusnya tidak memilih jalan mudah untuk kekal cantik dan muda.


“Tidak guna hanya cantik luaran. Kalau boleh, biar luaran dan dalaman seiring, baru terpancar aura seri sebenar,” katanya.


Pakar Motivasi dan Kaunseling, RKH Motivasi and Services, Dr Robiah Kulop Hamzah berkata, suntikan hanya boleh dilakukan jika ada parut, wajah dan tubuh yang mencacatkan dan memudaratkan jika tidak dilakukan suntikan.


“Apapun, paling penting, semuanya bergantung kepada niat. Jika baik, tidak salah, tapi kalau sebaliknya, ia dikira tidak betul.


“Jika anda dilahirkan dengan tubuh badan dan wajah yang tiada cacat cela, mengapa mahu mengubah ciptaan Allah kerana ia sebaik-baik kejadian.


“Mengubah kejadian Allah bermakna anda melawan ciptaan-Nya. Jika mahu membuat suntikan menarik perhatian, ia salah dan tidak dibenarkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com