expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 18 July 2012

Hampir maut dipatuk ular kapak


















Reptilia dipercayai spesies ular kapak hijau inilah yang mematuk betis kanan Husin.


KUALA BERANG - Ibarat 'nyawa di hujung tanduk'. Demikian nasib dialami seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di daerah ini apabila dia hampir maut selepas dipatuk ular dipercayai spesies ular kapak hijau, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi di Kampung Landas itu, mangsa Husin Ali, 43, terpaksa menggagahkan diri memandu kereta kirakira setengah jam ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) dalam keadaan sakit menahan bisa ular  sebelum dia pengsan di HHT.


Menimbau peristiwa itu, Husin berkata, dia dan isterinya, Asmuni Awang, 43, baru tiba di kebun mereka di kampung berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan kawasan dan hanya sempat berjalan beberapa langkah dari kereta sebelum dia dipatuk.


“Sebaik berjalan meninggalkan kereta, tiba-tiba betis kanan saya terasa begitu sakit. “Selepas diperiksa saya dapati betis saya terdapat kesan dipatuk ular yang panjangnya kira-kira satu meter,” katanya .


Husin berkata, dalam keadaan panik, isterinya memberanikan diri memukul reptilia itu dengan sebatang kayu sehingga mati.


“Biarpun kesakitannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, namun saya gagahkan diri memandu ke HHT sambil ditemani isteri. “Setibanya di hospital, saya pengsan kira-kira setengah jam selepas diberikan empat suntikan melawan bisa ular dan saya bersyukur kerana masih selamat,” katanya kelmarin yang turut menerima kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai.


Sementara itu, Asmuni berkata, sebaik dia melihat suaminya menahan kesakitan akibat dipatuk ular, dia mencapai kayu berhampirannya dan nekad untuk memukul ular berkenaan biarpun dalam keadaan panik.


“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami dan walaupun cemas, saya beranikan diri untuk memukul haiwan berkenaan selepas berjaya mencapai kayu yang terdapat di kawasan itu. Syukurlah semuanya selamat,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com