INDRA PUTRA menjaringkan hatrik pada
aksi menentang Perak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.
“SAYA
gembira membimbing Kelantan sekali gus membantu pasukan ini mempertahankan
mahkota kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut.”
Demikian
luah pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak sejurus pasukannya mencatatkan
kemenangan besar dengan menumbangkan Perak 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium
Sultan Muhammed IV, malam kelmarin.
Tanpa
berselindung, Hodak mengakui dia gembira dengan semangat juang yang dijelmakan
oleh barisan pemainnya sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan.
“Sebelum
perlawanan saya ada memberitahu pengurus pasukan (Azman Ibrahim) bahawa pemain
mahu menang dalam perlawanan ini seterusnya menghadiahkan kejuaraan liga
sebagai bonus dan akhirnya mereka berjaya melakukannya dengan baik.
“Sepanjang
membimbing Kelantan, saya lihat barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak
permainan yang konsisten sejak dari awal hingga akhir perlawanan,” katanya
ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Dalam
perkembangan lain, Hodak memberitahu, untuk pertemuan dengan Felda United esok,
beliau bakal kehilangan khidmat dua pemain utamanya iaitu Daudsu Jamaluddin dan
ketua pasukan Mohd. Badri Radzi yang digantung perlawanan selepas mengumpul
tiga kad kuning.
“Ditambah
pula dengan kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama, namun saya
tetap akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk menghadapi perlawanan
tersebut,” ujarnya.
Selepas
membantu The Red Warriors menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama musim
ini, pengendali kelahiran Croatia itu membuktikan sentuhannya semakin berbisa
apabila membimbing Kelantan mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi
pada musim lalu.
Lebih
menarik, kejuaraan untuk musim ini diraikan lebih awal, biarpun masih berbaki
dua perlawanan sebelum saingan Liga Super melabuhkan tirainya pada Sabtu depan.
Kejayaan
mempertahankan kejuaraan liga kali kedua berturut-turut meletakkan namanya
selaku jurulatih asing pertama yang berjaya membimbing Kelantan menjulang dua
kejuaraan dalam satu musim setakat ini.
Sementara
itu, ketua pasukan Mohd. Badri Radzi memberitahu, kejayaan mempertahankan
kejuaraan liga melonjakkan lagi semangat mereka untuk merangkul Piala Malaysia
selepas ini.
No comments:
Post a Comment