NORSHAHRUL (depan)
belum pasti diturunkan pada aksi menentang Negeri Sembilan malam ini akibat
mengalami kecederaan.
KELANTAN tidak akan memberikan laluan mudah buat Negeri
Sembilan meskipun turun tanpa beberapa tonggak utamanya yang mengalami
kecederaan pada aksi Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri
Sembilan malam ini.
Bagaimanapun, pengendalinya, Bojan Hodak tetap optimis
pasukannya mampu meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut dalam usaha
menjarakkan kedudukan mata dengan pesaing terdekat, Lions XII yang kini hanya
dibezakan dengan satu mata.
Oleh itu, Hodak menuntut barisan pemainnya memberikan aksi
terbaik pada perlawanan tersebut.
“Kita pergi ke Paroi dengan separuh kekuatan kerana beberapa pemain
utama mengalami kecederaan serta penggantungan perlawanan akibat kad kuning.
“Namun ia tidak mengusarkan kita kerana saya mempunyai
perancangan untuk meraih tiga mata penuh lagi pun perlawanan ini cukup penting
buat Kelantan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Antara pemain The Red Warriors yang mengalami kecederaan
ialah penyerang prolifiknya Norshahrul Idlan Talaha, Zairul Fitree Ishak, S.
Chanturu, manakala Nwaneri Obinna dan Nurul Azuan Roya digantung perlawanan
akibat menerima tiga kad kuning.
“Begitu juga dengan Mohammad Ghaddar dan Mohd. Badri Radzhi.
Kedua-dua pemain ini mengalami kecederaan dan peluang untuk diturunkan masih
belum pasti, bagaimanapun kita tetap membawa mereka ke Paroi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu bahawa dia tidak akan
mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun pasukan lawan bakal beraksi tanpa
beberapa tonggak seperti Emannual Effa Owanan, Rashid Mahmud dan Aliff
Shamsuddin.
“Namun mereka masih mempunyai pemain yang bagus seperti
Shakir Ali. Saya telah mengarahkan barisan pertahanan untuk merantai pergerakan
pemain ini yang cukup bahaya apabila berada di depan pintu gol,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment