AYAT 255
surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat tersebut terdapat kata
"kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata kursi membawa erti
takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan, pengetahuan dan simbol autoriti.
Itulah
sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan kekuasaan
Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang zaman telah
menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke semasa. Ayat Kursi
begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering terdapat di rumah kaum Muslim.
Ayat Kursi
dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam al-Quran kerana di dalamnya
terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah SWT daripada 50 kata yang terdapat
di dalamnya. Apabila dihayati, 17 kata yang menunjukkan nama Allah itu akan
memberi kekuatan batin pembacanya.
Terdapat
ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali solat yang pernah
diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50 kali itu diringankan
menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam. Di sisi lain, perjalanan
menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50 tahun menurut perhitungan manusia.
Ayat Kursi
lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam ayat Kursi terdapat
sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi ayat-ayat lain. Intipati nama
dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu diungkapkan dalam satu ayat hanya
pada ayat Kursi.
Dalam satu
kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang bertukar fikiran tentang
ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada mereka: "Bagaimana
pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian berkata: "Rasulullah
SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian manusia adalah Adam, penghulu
bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa sombong, kalam yang terbaik adalah
al-Quran, penghulu al-Quran adalah al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah
ayat Kursi'."
Terdapat
beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi, misalnya yang
diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak dibaca ayat ini
(ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan lari meninggalkannya
selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan wanita tidak akan memasukinya
selama 40 hari."
Ali juga
menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan
berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada saat tidurnya, Allah
akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari tetangganya dan rumah-rumah
yang ada sekitarnya."
Dalam hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka
tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian dan tidak ditetapkan
padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun
beribadah)."
No comments:
Post a Comment