expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 14 July 2012

Keluarga tonggak muslim Berjaya





Setiap individu pasti mempunyai pelbagai masalah yang dialami dan ini memerlukan penyelesaian yang pasti membuatkan diri berasa lega.


Begitu jugalah dalam topik kekeluargaan, terdapat isu dan persoalan turut dialami termasuklah peranan suami dan isteri dalam melayari rumah tangga berkenaan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Ikram, Prof Dr Harlina Halizah Siraj berkata, keluarga ibarat kubu di mana tempat melahirkan insan yang boleh menjalankan tanggungjawab kepada keluarga, agama dan negara dengan sebaiknya.




 
Menurutnya, jika lihat pada definisi keluarga pula terdapat dua definisi iaitu definisi tradisional dan definisi terkini yang telah digubah berdasarkan perubahan persekitaran untuk menjadi panduan kepada masyarakat.


Definisi tradisional mengenai keluarga adalah kelompok sosial yang dianggotai seorang lelaki dan wanita yang tinggal di bawah satu bumbung yang diikat melalui ikatan perkahwinan.


“Namun hubungan suami isteri tidak semestinya berpanjangan. Ini kerana ada kalanya isteri akan kematian suami, bercerai atau berpisah.


"Begitu juga sebaliknya dialami lelaki seterusnya tidak lagi tinggal sebumbung menyebabkan isteri dan anak yang tinggal tidak boleh dinyatakan sebagai sebuah keluarga,” katanya.




 
Fitrah manusia


Harlina berkata, disebabkan definisi berkenaan tidak relevan dengan situasi maka pada 1996, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan penyemakan semula dan mewartakan definisi keluarga yang baru untuk digunakan.


Definisi keluarga yang diguna pakai adalah dua atau lebih individu hidup bersama dan mempunyai ikatan darah atau pertalian kekeluargaan menerusi perkahwinan.


“Namun apabila definisi ini dibuat, terdapat agenda lain muncul dan ia diterima pakai oleh negara yang bersetuju menggunakan definisi tersebut.


"Rupa-rupanya satu persediaan keadaan sosial yang berbeza di mana trend pengiktirafan keluarga yang sejenis, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan telah diterima sebagai keluarga,” katanya.


Hal ini katanya, mendatangkan ancaman kepada umat Islam dan fi trah manusia sebenarnya yang sepatutnya melahirkan keluarga yang mempunyai peribadi yang baik, spiritual dan  rohani yang sempurna.




 
Dunia rumah tangga


Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, tunjang sesebuah keluarga ialah suami isteri yang datang daripada latar belakang berbeza yang perlu diserasikan untuk melahirkan anak-anak berguna untuk agama dan bangsa.


“Bukan mudah untuk mencari keserasian antara dua individu yang berlainan latar belakang dan tingkah laku untuk menjadi satu seterusnya mengecap kebahagiaan terutama dalam dunia rumah tangga.


“Dalam Islam, perkahwinan menjadi tempat membentuk insan yang diredai ALLAH. Tugas membentuk anak adalah tanggungjawab ibu bapa sama ada mahu mencorakkan anak  beragama Islam atau sebaliknya,” katanya.


Kata Emran, perkahwinan adalah perkara yang mustahak dalam agama.


Namun ramai yang menganggap ini adalah perintah sosial di mana bersalahan dengan agama. “Perkahwinan bukanlah matlamat tetapi alat. Sesiapa yang menjadikan perkahwinan itu matlamat maka ia boleh jatuh kepada syirik dan menempah ke neraka.


“Seperti apa yang dibayangi lelaki dan wanita mahukan perkahwinan yang bahagia merupakan perkahwinan yang langsung tiada masalah dan pergolakan. Pendapat ini salah sama  sekali,” katanya.




 
Emran berkata, perkahwinan sebenar bukanlah perkahwinan yang bahagia di mana suasana sentiasa romantik tanpa ada pergolakan atau masalah sedangkan nabi pun pernah  mengalami masalah keluarga.


“Justeru bayangan kebahagiaan rumah tangga itu yang tiada pergaduhan adalah meleset sama sekali. Pasti ada onak dan duri dalam keluarga yang berbezanya besar atau kecil masalah berkenaan.


“Jika suami isteri sentiasa berpegang pada agama dan perintah ALLAH dalam mengemudi keluarga maka segala permasalahan boleh ditangani secara baik dan kembali bersatu,”  katanya.


Penentu masa depan


Selain itu kata Emran yang juga penulis buku, setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah. Justeru setelah dilahirkan ibu bapalah penentu masa depan anaknya sama ada menjadi Islam, Yahudi atau Nasrani.


“Kita selalu lihat ramai anak orang Kristian yang cemerlang, begitu juga Majusi lahirkan anak yang berjaya menyembah berhala dengan cemerlang, tetapi di mana anak Muslim, manakah yang berjaya?


“Memetik kata Imam Nawawi bahawa setiap insan yang dilahirkan adalah Islam, tidak kira daripada bangsa apa pun sebenarnya fi trahnya,” katanya.


Berkenaan peranan lelaki dan perempuan  dalam keluarga kata Emran, dalam Islam keluarga bermula apabila seorang lelaki meminang seorang perempuan maka bermula detik keluarga.


“Apabila seseorang lelaki ingin mendirikan rumah tangga, dia perlu mencari ibu terbaik kepada anaknya.


Justeru pilihlah pasangan yang memiliki kehendak yang mengikut syariat demi kebahagian berpanjangan," katanya.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wanita dinikahi kerana empat faktor, yakni kerana harta kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya.


Hendaknya pilihlah yang beragama untuk berkat kedua tanganmu. (Riwayat Muslim) 



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com