PEMANDANGAN sekitar bandar Krymsk, selatan Rusia, yang ditenggelami air
banjir semalam.
KRYMSK, Rusia - Angka kematian akibat
banjir kilat yang melanda rantau Krasnodar di selatan Rusia meningkat kepada
150 orang, kata seorang jurucakap polis semalam.
Jurucakap berkenaan, Ivan Sengerov
berkata, kawasan paling teruk terjejas adalah di sekitar bandar ini yang dihuni
oleh 57,000 orang.
Menurutnya, seramai 139 mayat telah
ditemui di bandar berkenaan.
Setakat ini, katanya, hampir 29,000
orang di seluruh kawasan terjejas di selatan Rusia terputus bekalan elektrik
dengan lebih 5,000 buah rumah ditenggelami air bah.
Banjir kilat itu turut mendapat
perhatian Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Kelmarin selepas melawat kawasan
banjir di Krasnodar, Putin, 59, mengarahkan satu siasatan segera dilakukan bagi
memastikan sama ada langkah mencukupi telah diambil untuk menghalang kematian
150 orang dalam bencana itu.
Beliau berkata, dana khas akan
digunakan untuk membina kediaman baharu untuk mangsa banjir tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, ramai
mangsa banjir di Krymsk menyuarakan kemarahan terhadap pihak berkuasa kerana
tidak menghulurkan bantuan ketika kediaman mereka digenangi air dalam tempoh
beberapa jam.
Bencana tersebut yang dipercayai
berpunca daripada hujan lebat, berlaku pada Jumaat lalu.
"Tiada orang datang ke jalan
tempat kami tinggal untuk menghulurkan bantuan. Kami sangat memerlukan
bantuan," kata seorang pesara wanita di sini, Lidiya Polinina kepada
agensi berita AFP menerusi telefon.
"Rumah kami tenggelam hingga ke
siling," tambahnya.
Seorang lagi penduduk setempat yang
hanya mahu dikenali sebagai Tatyana mendakwa air bah melimpah ke kediaman
mereka dengan cepat.
"Rumah kami digenangi air dalam
masa lima hingga 10 minit," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment