ARAFAT (kanan) dibantunya isterinya,
Suha meninggalkan Tebing Barat, Ramallah untuk menuju ke Perancis pada 29
Oktober 2004.
RAMALLAH,
Tebing Barat - Kubur pemimpin Palestin, Yasser Arafat mungkin akan digali bagi
membolehkan lebih banyak ujian dilakukan untuk menentukan punca kematiannya,
kata Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas semalam.
Beliau
membuat kenyataan tersebut selepas sebuah makmal Switzerland melaporkan,
pihaknya menemui kandungan tinggi bahan radioaktif polonium pada beberapa
barangan yang digunakan oleh Arafat beberapa hari sebelum kematiannya.
Kenyataan
itu dibuat selepas balu Arafat, Suha dalam satu temu ramah yang disiarkan
stesen televisyen Al-Jazeera menyatakan suaminya itu diracun dengan polonium.
Pegawai
kanan Palestin, Saeb Erakat memberitahu agensi berita AFP, satu siasatan
antarabangsa perlu diwujudkan bagi menentukan punca kematian Arafat.
Dalam
wawancara bersama Al-Jazeera, Suha tidak menyatakan mengapa beliau
menunggu hampir lapan tahun sebelum membenarkan beberapa barangan tersebut
termasuk sebatang berus gigi dan topi untuk diuji.
Pada hari
kematian Arafat, wanita tersebut enggan membenarkan mayat suaminya itu dibedah
siasat.
Arafat
meninggal dunia di sebuah hospital tentera di luar Paris, Perancis pada
November 2004 semasa berumur 75 tahun.
Beberapa
doktor Perancis memberitahu, beliau mengalami pendarahan otak.
Namun,
beberapa minggu sebelum itu, Arafat jatuh sakit di kediamannya di Tebing Barat.
Doktor-doktor
termasuk beberapa pakar bebas yang menyemak rekod perubatan Arafat bagi pihak
agensi berita Associated Press (AP) gagal mengenal pasti punca
beliau mengalami pendarahan otak.
Spekulasi
telah tersebar di dunia Arab bahawa beliau dibunuh oleh Israel yang
menganggapnya sebagai halangan perjanjian damai Asia Barat.
Namun,
seorang pegawai Israel menafikan rejim Zionis telah meracun Arafat.
Dalam satu
temu ramah radio, Dov Weisglass yang pernah menjadi ketua kakitangan Perdana
Menteri Israel ketika Arafat masih hidup, Ariel Sharon, menafikan laporan
Al-Jazeera.
Menurut
Weiglass, para pegawai Israel tidak pernah menimbang untuk membunuh Arafat.
Ketua
Institut Radiasi Fizik di Laussanne, Francois Bochud memberitahu AP
semalam bahawa makmalnya menguji beberapa barangan yang digunakan pada hari-hari
terakhir Arafat selain beberapa barangan lain milik pemimpin tersebut.
Suha
berkata, barangan itu disimpan di sebuah bilik selamat di pejabat peguamnya di
Paris selepas kematian Arafat sehingga pihak Al-Jazeera menghubungi makmal
berkenaan bagi pihaknya pada awal tahun ini.
Selepas
ujian dilakukan, beberapa pakar menemui kuantiti kecil bahan radioaktif
polonium pada seluar dalam Arafat dan pakaian hospital yang dipakainya.
Penemuan itu
kata Bochud, tidak semestinya menunjukkan bahawa Arafat diracun.
Katanya,
sukar untuk mengenal pasti sumber polonium tersebut.
"Apa
yang kami tahu adalah terdapat tahap polonium yang tinggi yang membawa kepada
hipotesis Arafat diracun tetapi hasil ujian ini bukan bukti bahawa beliau
diracun," kata Bochud dalam satu wawancara telefon bersama AP.
Polonium
paling dikenali kerana menyebabkan kematian bekas ejen perkhidmatan risikan
KGB, Alexander Litvinenko di London pada 2006.
Litvinenko
sebelum itu kerap mengkritik pemerintah Rusia. - Agensi
No comments:
Post a Comment