Leila dan suaminya
menyatakan mereka bersedia kembali ke Tunisia untuk menghadapi perbicaraan
secara adil.
PARIS -
Leila Ben Ali, isteri kepada bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali
berharap keluarganya akan memperoleh keadilan, menurut akhbar Le Parisien,
kelmarin.
Dalam wawancara pertama bersama media, Leila turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dengan perbuatan menggelapkan dana awam dan memiliki dadah serta senjata sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atasnya.
"Saya
tidak melibatkan diri dengan politik. Kehidupan seharian saya banyak dihabiskan
dengan kerja kebajikan dan sosial.
Selain itu,
saya banyak membantu ahli keluarga lain. Saya tidak pernah berniat untuk
menyakiti sesiapa," katanya.
Dalam satu
kenyataan, isteri kedua Ben Ali tersebut turut menyuarakan kekesalan kerana
rakyat telah lupa dengan jasa suaminya selama 23 tahun yang bertungkus-lumus
menjadikan Tunisia sebagai sebuah negara moden.
'Kami bersedia untuk dibicarakan secara adil tanpa dipengaruhi mana-mana pihak," menurutnya lagi.
Bulan lalu, wanita berumur 55 tahun tersebut turut melancarkan sebuah buku berjudul My Truth yang mendedahkan rancangan pegawai kerajaan untuk menggulingkan pemerintahan suaminya selama lebih dua dekad.
Ben Ali dan isterinya melarikan diri ke Arab Saudi selepas digulingkan semasa revolusi kebangkitan rakyat pada tahun lalu.
Bekas
pemimpin negara Afrika Utara itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh
mahkamah pada bulan lalu selepas didapati bersalah mengarahkan tindakan
kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
No comments:
Post a Comment