IBNU Abi Ushaybi'ah adalah seorang ahli kedoktoran atau
perubatan Muslim Arab dan merupakan orang yang pertama menulis mengenai sejarah
kedoktoran atau perubatan Arab.
Nama lengkapnya Muwaffakuddin Abu al-Abbas Ahmad bin al-Kassim
bin Khalifah bin Yunus al-Khazraj. Beliau berasal daripada sebuah keluarga
doktor. Ayahnya sendiri adalah doktor mata dan lahir di Damsyik pada 590
Hijrah.
Pada mulanya beliau belajar di bawah bimbingan beberapa orang
guru pada waktu itu, terutama Ibnu al-Baythar, yang mengajarnya mengenai ilmu
botani.
Manakala bidang kedoktoran atau perubatan dipelajarinya
daripada ayahnya (meninggal pada 649 Hijrah / 1251 Masihi) dan ar-Rahbi
(meninggal 631 Hijrah / 1233 Masihi). Ilmu yang diperoleh itu kemudian dipraktikkan
di Hospital Nuri Damsyiks dan Hospital Nasiri di Mesir.
Kemudian pada 634 Hijrah / 1236 Masihi, beliau bekerja di
bawah pemerintahan Izzuddin Ayhak al-Mu'azzami di Sarkhad. Versi lain
menyebutkan bahawa pada 1236 Masihi, beliau diutus oleh doktor Saladin ke Mesir
dan dilantik mengetuai sebuah hospital di Nasiri.
Setahun kemudian beliau menarik diri daripada jawatan
tersebut dan memenuhi panggilan untuk bertugas di bawah pemerintahan Kesultanan
Damsyik di Salkhad. Di sanalah beliau meninggal dunia pada 668 Hijrah / 1270
Masihi.
Karya agung
Karangan-karangan beliau di dalam bidang kedoktoran banyak
ditulis dan kini sebahagian besar telah dinyatakan hilang. Namun, secara
sepintas disebutkan dalam bukunya, Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba
dan dalam tulisan beberapa buku geografi.
Antara lain yang dapat disebutkan adalah:
1. Isal -at al-Munajjimin
2. At-Tajaril-wa al-Fawil'id
3. Hikayat al-Atibua' Fi ilajatal-Adwa
4. Ma'alim al-Umam
Selain karya-karya tersebut di atas, beliau juga banyak
menulis syair. Bagaimanapun, karyanya yang paling masyhur ialah Uyun
al-Anba' fi Tabakat al-Atibba (Lives of the Phycians). Karya ini
menghimpunkan tulisannya yang berjumlah lebih kurang 380 biografi ahli ilmu
kedoktoran yang tidak terkira nilainya kepada sejarah sains Arab.
Karangannya ini, sekali gus menunjukkan betapa Ibnu Ahli
Ushaybi'ah rajin menyalin secara harfiah dan meringkaskannya. Kemudian
diperjelaskan dan diperkuat dengan bahan-bahan tambahan yang ada.
Biografi itu disusun mengikut negara / wilayah dan mengikut
generasi serta dengan susunan berukuran kecil (berbentuk naskhah kecil dan
disempurnakan pada 540 Hijrah / 1242 Masihi. Ia juga ditambah dengan
bahan-bahan baru yang diambil daripada karya Ibnu al-Qifti, Tarikh al-Hukama.
Semua ini dikumpulkan menjadi satu dalam sebuah jilid besar pada 667 Hijrah /
1268 Masihi.
Gaya sastera daripada Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba yang
mengandungi beberapa rencana gaya popular dikaji oleh A. Muller, seorang
penulis yang juga menyiapkan teks edisi yang didasarkan pada kedua-dua bentuk
susunan tersebut di atas. Ia kemudian dicetak di Mesir pada 1299 Hijrah / 1882
Masihi.
Di samping itu, Najamuddin bin Fahd pula pernah menyusun buku
mini secara alfabet. Uyun al-Anba' fi Tabakat al-Atibba merupakan karya
yang diterbitkan kemudian dalam beberapa edisi komersial dan dicetak ulang oleh
Dar al-Fikr, Beirut, pada 1955-1956.
Beberapa orientalis beranggapan buku ini diakui sebagai buku
teks yang penting sejak pertengahan abad ke-19 Masihi. Sebuah terjemahan
Perancis buku ini diterbitkan oleh Sanguinetti (1854-1856 M), manakala
terjemahan bahasa Jerman diusahakan oleh Hamed Waly.
Pada 1958, M do Algiers, H. Jahier dan Abdel Kader Noureddin
bersama-sama menyusun, menyunting dan menterjemahkan dan menambah bab anotasi
tentang para ahli kedoktoran Barat Muslim.
No comments:
Post a Comment