Daripada
Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi, kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu
mereka bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku
berada dalam keadaan baik. Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau
dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku
telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla
berfirman: Apabila aku menguji seseorang daripada hamba-Ku yang mukmin dengan
sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia
akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan ibunya –
bersih daripada segala kesalahan, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada
Malaikat penulis amal itu: Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah
mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya
(menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Orang
beriman akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah.
Mereka yang bersabar menghadapi bala atau penyakit akan menghapuskan dosa. Bala
dan ujian juga antara tanda seseorang itu disayangi Allah. Oleh itu, kita wajib
bersabar atas kesusahan yang menimpa supaya tidak ditimpa bala dua kali, yang
keduanya ialah kerugian luput pahala.
Seseorang yang ingin menjadi hamba yang dikasihi Allah dia hendaklah bersedia menerima ujian diturunkan Allah kepadanya, sebaliknya seseorang yang tidak reda menerima ujian Allah dia akan dibenci Allah.
Daripada
Anas katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi
seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia.
Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh
pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya
Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan
kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah
dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Hadis
riwayat at-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment