expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 9 July 2012

Terbuka tangani perbezaan pendapat


















BINCANG...perbincangan ilmiah dengan mengadakan dialog dan seminar antara cara berdepan isu khilaf namun perbincangan perlu diadakan bagi mencari titik persamaan.


PERDEBATAN perbezaan pendapat (khilafiyyah) tidak boleh diperbesarkan kerana boleh menyebabkan tuduh menuduh, menghukum bidaah, sesat atau kafir mengkafir.


Khilaf dalam masalah furu’ adalah perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi umat Islam perlu berlapang dada serta bertolak ansur dalam perkara itu.


Di kalangan ulama, walaupun mereka berbeza pendapat tidaklah sampai membawa kepada perasaan benci membenci dan tidak bertegur sapa sehingga menjejaskan hubungan.


Maka, seorang Muslim perlu menghayati akhlak Islamiah seperti agama ajarkan kepada umatnya dalam al-Quran dan sunnah.


Dalam khilaf, pendapat orang lain perlu diambil kira.


Imam Syarani menceritakan Imam Shafie tidak membaca doa qunut subuh ketika menziarahi kubur Imam Hanafi. Apabila ditanyakan kepada Imam Shafie mengapa, Imam Shafie menjawab, bagaimana aku boleh membaca qunut sedangkan tuan imam (Imam Hanafi yang menghuni kubur itu) tidak berpendapat sedemikian (perlu membaca qunut ketika subuh).


Imam Syarani berpandangan, sesungguhnya perbuatan itu adalah adab terhadap imam mujtahidin iaitu saudaranya, sama dengan adabnya terhadap Rasulullah s.a.w.


Sifat taksub dengan pendapat sendiri, tokoh, mazhab atau golongan tertentu perlu dielakkan. Umat Islam yang tidak mampu berijtihad sebaiknya mengikut pandangan dan ijtihad daripada imam mazhab.


Terdapat di kalangan umat Islam yang taksub dengan merendah-rendahkan pandangan serta pendapat orang lain yang tidak sealiran dengannya.


Jika masalah itu tidak ditangani secara bijaksana, ia boleh menimbulkan perbalahan yang memberi impak negatif kepada Islam.


Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kehidupan.


“Hakikatnya, perbezaan pendapat itu membuktikan kebesaran Allah S.W.T yang mencipta makhluk-Nya dengan pelbagai sifat dan ragam.


“Perbezaan ini adalah ketetapan Allah atau sunnatullah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.” (Surah Hud, ayat 118).


“Setiap individu Muslim perlu melihat perselisihan pendapat itu secara positif untuk kebaikan ummah, bukan mendatangkan perpecahan dan perbalahan,” katanya.


Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:


“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. 


Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum, ayat 22).


“Dalam Islam, perbezaan pendapat di kalangan ulama berlaku dalam masalah fiqah kerana beberapa sebab, antaranya memahami dan menafsir nas-nas dalam menentukan dalil sesuatu hukum. 


“Perbezaan juga boleh berlaku disebabkan faktor tempat dan masa,” katanya.


Khalifah Umar Abd Aziz pernah menyebut, beliau melihat fenomena perbezaan pendapat di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w sebagai hal yang baik kerana ia memberi rukhsah (keringanan) kepada umat.


“Ia menjadi sebab keluarnya umat Islam daripada kesempitan masalah dalam beberapa isu fiqah. Tetapi dalam bab akidah, tiada istilah perbezaan atau perselisihan.


“Pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jama’ah adalah pegangan yang menyatukan seluruh umat Islam di bawah kalimah tauhid yang satu.


“Al-Quran dan sunah adalah dua sumber pegangan akidah tanpa perlu dipertikaikan,” katanya.


Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul.” (Surah al-Nisa’, ayat 59). Sabda Rasulullah yang dinukilkan Malik bin Anas dalam kitabnya al-Muwatta’, bermaksud: “Aku telah tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Quran dan Sunnah Nabi-Nya.”


Beliau berkata, perkara yang perlu ditekankan ialah bagaimana pendirian umat Islam dengan isu perbezaan itu.


“Kejahilan umat Islam menangani isu khilaf menjadikan mereka dalam haru-hara seperti firman Allah yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).


“Bagi orang awam, berdamping dan bertanyalah kepada orang berilmu jika menghadapi masalah agama.


“Manakala, golongan ilmuwan yang berselisih pendapat perlu berlapang dada berdepan dengan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, “katanya.


Katanya, selagi perbezaan itu dalam perkara furu’ (bukan perkara pokok), perbezaan pendapat dibenarkan.


“Jika kedua-dua pihak mempunyai hujah kukuh, perselisihan pendapat itu menjadi rahmat buat umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, ayat 36).


“Perbincangan ilmiah dengan cara berdialog dan seminar adalah cara terbaik bagi mencari titik persamaan,” katanya.


Allah berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125).


Beliau berkata, antara adab perlu dijaga ketika membincangkan isu khilaf ialah jangan melabel orang lain secara negatif.


“Contohnya, melabel pihak lain dengan ‘kafir’, sedangkan isu yang dibahaskan tidak menyentuh soal akidah. Ingatlah semua umat Islam itu bersaudara.


“Umat Islam perlu disatukan dengan kalimah tauhid yang memperakui keesaan Allah dan kebenaran Rasul-Nya. Mereka perlu bersikap profesional ketika berdepan masalah khilaf tidak kira sama ada di kalangan golongan ilmuwan mahupun orang awam, “katanya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya (Rasul Allah), jangan kamu berselisihan kerana itu (menyebabkan) kamu menjadi lemah, dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah (kerana) Allah bersama orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46).

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com