Pages

Friday, 11 May 2012

Anak bukan barang rebutan





KALI ini saya ingin menulis mengenai anak dan bagaimana orang dewasa melihat anak. Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Sebagai ibu bapa biasanya secara semula jadi amat mengasihi anak atau anak-anak mereka.


Cara memberi kasih sayang dan tumpuan berbeza antara ibu dan bapa dan antara anak-anak. Ini kerana setiap anak adalah berbeza dan tidak mungkin serupa baik dari segi fizikal mahupun emosi, walaupun mereka kembar seiras. 


Anak-anak juga mempunyai hubungan berbeza dengan ibu bapa. Umumnya, anak perempuan lebih manja dengan ayah dan anak lelaki dengan ibu. Kebanyakan anak sememangnya lebih rapat dengan ibu kerana fitrah ibu adalah orang paling rapat dengan anak. 


Sebab itu dalam banyak hal, jika anak dimarahi atau dipukul orang lain, ibu akan lebih beremosi.


Anak juga pada kebiasaannya mendapat ketenangan berbincang dengan ibu kerana sifat dan fitrah ibu. Namun tidak dinafikan ada juga yang berlaku sebaliknya. 


Dalam sebuah rumah tangga yang aman damai dan bahagia, anak akan membesar dalam keadaan teratur dan beradab. Mereka terpelihara daripada segala kesukaran dan emosi yang boleh memudaratkan. Namun tidak semua bernasib baik. 


Hari ini dengan jumlah perceraian yang meningkat mengakibatkan anak-anak terdedah kepada masalah rumah tangga dan pergaduhan antara ibu dan bapa. Yang paling malang apabila ibu dan bapa meminta mereka membuat pilihan untuk tinggal dengan siapa. 


Dalam hal perebutan hak pemeliharaan anak atau hadanah, ibu dan bapa sering terlupa bahawa anak bukannya barang atau anak patung yang boleh diambil dan diserah sesuka hati. Mahkamah syariah dan sivil yang mengendali kes-kes sebegini juga perlu sedar bahawa anak adalah ciptaan Allah yang perlu diberi pelindungan khas apabila perkara seperti itu berlaku. Adalah amat penting meletak diri dalam situasi anak yang direbut. Jika kita adalah mereka, bolehkah kita memilih? 


Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor 2003 menggariskan hak hadanah seperti berikut melalui Seksyen 82. 


1. Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. 

2. Jika mahkamah berpendapat bahawa ibu hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen lain.

3. Mengikut subseksyen itu hak itu hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:

* nenek sebelah ibu hingga ke atas.

* bapa.

* nenek sebelah bapa hingga ke atas.

* kakak atau adik perempuan seibu sebapa.

* kakak atau adik perempuan seibu.

* kakak atau adik perempuan sebapa.

* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa.

* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu.

* anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa.

* emak saudara sebelah ibu.

* emak saudara sebelah bapa.

* waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai 'asabah atau residuari. 


Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.


Seksyen 83 enakmen itu pula menyebut, seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika:

* dia adalah seorang Islam.

* dia adalah sempurna akal.

* dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.

* dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah.

* dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.


Seksyen 84 pula mengenai hak seseorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang:

* jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;

* jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.

*Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.

* Jika perempuan itu murtad.

* Jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.


Jika diamati peruntukan ini, jelas Islam memberi keutamaan kepada ibu dan ibu kepada ibu untuk memelihara anak jika berlaku perceraian. Secara realitinya bukan semudah itu mendapat hak hadanah anak. Ini kerana kadang-kadang ia lebih indah khabar daripada rupa. 


Banyak kes yang menyebabkan ramai merasakan peruntukan undang-undang yang ada tidak dapat menyelesaikan kes yang mana ibu dan bapa tidak dapat berfikir secara waras dalam menangi isu merebut anak.


Lamanya penjagaan


Seksyen 85 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor 2003 menyebut hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat setelah dia mencapai umur tujuh tahun. Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadanah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.


Setelah tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun kepada bapa. Jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka dia berhak memilih untuk tinggal sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

No comments:

Post a Comment