Pages

Friday, 11 May 2012

Kegembiraan berganda Rasulullah




SEKEMBALINYA Rasulullah dan seluruh tentera Islam ke Kota Madinah berlakulah satu peristiwa yang membuatkan baginda berasa sangat gembira.
Ini apabila baginda menerima kedatangan tetamu yang tidak disangka-sangka, yang telah 10 tahun tidak bertemu. 


Tetamu tersebut merupakan rombongan umat Islam yang terdiri daripada para sahabat yang dahulunya berhijrah ke Habsyah diketuai oleh sepupu baginda sendiri, Jaafar bin Abi Talib. 


Mereka terdiri daripada 101 orang iaitu 83 lelaki dan 18 wanita yang mentaati saranan Rasulullah supaya berhijrah ke Habsyah yang ketika itu diperintah seorang raja Najasyi, yang adil dan baik budi walaupun beragama Kristian. 


Mereka berhijrah semata-mata bagi melepaskan diri daripada seksaan kaum kafir Quraisy yang memberikan tekanan hebat terhadap umat Islam di Mekah.
Kedatangan mereka di Madinah disambut baginda dan seluruh kaum Muslimin dengan penuh kegembiraan. 


Ketika bertemu dengan Jaafar (selaku ketua rombongan), baginda memeluknya dengan erat dan mencium kening Jaafar berulang kali sehingga ada yang menitiskan air mata menyaksikan baginda yang kelihatannya begitu gembira. 


Baginda berkata: "Saya tidak tahu manakah yang lebih menggembirakan saya ketika ini. Gembira kerana berjaya menakluk Khaibar atau kerana dapat bertemu dengan kamu wahai Jaafar dan ahli-ahli rombongan yang lain." 


Dikatakan rombongan itu kembali ke Madinah setelah mendapati Islam kian kukuh dan kuat di Tanah Arab. Antara yang turut pulang ialah Abu Musa Al-Ashaari yang merupakan satu lagi nama besar dalam sejarah Islam. 


Oleh kerana mereka pulang sehelai sepinggang Rasulullah dengan persetujuan para sahabat memberikan sebahagian daripada harta rampasan perang Khaibar kepada rombongan tersebut. 


Selepas meraikan kedatangan para tetamu jauh itu, Rasulullah sedar bahawa kedudukan Islam di Madinah masih perlu diberi perhatian tanpa culas sedikitpun.


Walaupun baginda dikatakan dapat menguasai pihak Yahudi supaya tidak membuat onar terhadap Islam tetapi bagaimana pula dengan beratus-ratus kabilah Arab yang lain? Adakah mereka tetap berpegang teguh kepada perjanjian damai dengan Rasulullah atau mereka akan mudah terpengaruh dengan pelbagai hasutan agar bangkit menentang Islam? 


Begitulah situasi yang timbul selepas meraih kemenangan di Khaibar.
Musuh utama Islam adalah kafir musyrik Mekah walaupun perjanjian damai, iaitu Perjanjian Hudaibiah mengikat masing-masing supaya mematuhi gencatan senjata selama 10 tahun. 


Kaum kafir Quraisy Mekah bimbang Islam akan semakin meluaskan pengaruh mereka di Tanah Arab selepas dikatakan berjaya menundukkan pihak Yahudi. Bagi mereka, tidak mustahil Islam juga akan berjaya menakluk Mekah. 


Mereka melahirkan kebimbangan tersebut sesama sendiri dan sampai satu peringkat mereka hendak mengoyakkan perjanjian Hudaibiah yang ternyata memberikan banyak kelebihan kepada orang Islam. 


Namun jika membatal atau melanggar perjanjian itu bermakna perang. Dalam hal ini pihak kafir Quraisy sendiri tidak bersedia untuk berperang ekoran kekalahan dan kemenangan kecil dalam Perang Badar, Uhud dan Khandaq. 


Lalu mereka bertindak melaga-lagakan puak Arab yang lain supaya bangun menentang Islam walaupun mereka sendiri tidak dapat melakukan serangan tersebut. 


Mereka menakut-nakutkan puak-puak tersebut akan kemungkinan Islam akan menawan satu demi persatu wilayah sehinggalah seluruh wilayah Arab akan jatuh ke tangan Islam. 


Mereka berjaya mempengaruhi penduduk Taif dan kaum Hawazin yang mendiami desa Tarabah untuk melakukan serangan ke atas Madinah. 


Tetapi mereka tidak berjaya mempengaruhi puak Syaibah yang enggan mengkhianati perjanjian damai dengan Rasulullah. 


Akibatnya, puak Syaibah dimusuhi puak-puak Arab yang cuba belot terhadap Rasulullah. 


Lalu Syaibah menjadi mangsa serangan mengejut pada suatu malam sebagai membalas dendam ekoran keengganan mereka untuk bergabung itu. Keadaan menjadi kucar kacir apabila tanaman mereka dirosakkan, ternakan dicuri dan ada rumah yang dibakar dan sebagainya. 


Lalu puak Syaibah mengadu kepada Rasulullah akan tragedi yang menimpa mereka dan memberitahu angkara siapa di sebalik serangan tersebut. 


"Kami yakin serangan ini tentunya dilakukan oleh tali barut daripada puak Hawazin yang mendiami Desa Tarabah sebagai membalas dendam kerana kami enggan untuk bekerjasama untuk menjatuhkan Islam wahai Rasulullah," kata Abdul Jabar, pemimpin puak Syaibah.

No comments:

Post a Comment