Antara keindahan Islam yang menjadi kekuatan ruhnya ialah
ketelitian dalam periwayatan khabar. Konsep periwayatan sebegini dinamakan
sebagai isnad. Inilah yang menjadikan Islam sebuah agama yang
terpelihara akidah, pegangan dan pengamalannya semenjak zaman-berzaman.
Ketelitian dalam meriwayatkan khabar terus menghiasi diri
generasi salafussoleh terdahulu sehingga dapat kita kecapi hasil tuaiannya pada
hari ini daripada segala macam kemanisan dan kelazatan benih yang disemai oleh
mereka.
Al-Quran telah menekankan tentang ketelitian, usul periksa
dan amanah dalam menyampaikan dan meriwayatkan sesuatu khabar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kalian tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini
- dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya) - sehingga menjadikan kalian
menyesali apa yang kalian telah lakukan.
Pedoman dan petunjuk daripada al-Quran dan sunnah inilah yang
menjadi pegangan salafussoleh serta imam-imam hadis yang telah mengukir nama
mereka dalam sejarah emas insan terbilang.
Mereka terlalu teliti dan mementingkan setiap khabar, ilmu
dan pegangan yang disertai dengan sanad-sanad yang diyakini dan muktabar.
Abdullah ibnu Al-Mubarak ra berkata: "Isnad adalah
daripada urusan agama dan jikalau tiadanya isnad, semua orang boleh
berkata apa yang mereka kehendaki."
Ini bermaksud isnad yang muktabar adalah penentu
kepada perjalanan agama yang kita cintai ini. Ia menentukan sahih atau batilnya
sesuatu pendapat, yang sekiranya ia dipandang remeh, akan menjadi satu faktor
kepada keruntuhan segenap macam perkara yang berkaitan dengan Islam.
Konsep periwayatan atau isnad yang muktabar juga
adalah seampuh-ampuh benteng dan sehebat-hebat senjata dalam mempertahankan
maruah agama. Melalui pengamalan ini umat Islam semenjak dahulukala
mempertahankan asas-asas agama dalam perkara usul dan cabang agama daripada
diresapi oleh fahaman-fahaman luar yang menyesatkan.
Senjata Mukmin
Semua ini bertepatan dengan perkataan Al-Imam Sufyan
Al-Thauri ra: "Isnad adalah senjata orang Mukmin. Jika tiada
baginya senjata, maka dengan apakah mereka hendak berperang?"
Isnad juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu
khabar itu tidak dicampuradukkan dengan pengaruh luar seperti kata Muhammad
ibnu Hatim al Muzoffar: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini
dan meninggikan darjatnya dengan isnad. Tidak ada satu umatpun yang terdahulu
memiliki isnad, akan tetapi hanyalah suhuf yang ada di tangan mereka yang telah
mereka campur adukkan khabar-khabar ke dalam kitab-kitab mereka. Tiada ada bagi
mereka tanda yang membezakan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi mereka
daripada kitab Taurat dan Injil dengan apa yang mereka masukkan ke dalam
kitab-kitab mereka daripada khabar yang diambil daripada golongan yang tidak
thiqah."
Periwayatan sesuatu khabar tanpa isnad yang muktabar
juga menjerumuskan seseorang ke lembah kehinaan dengan terjebak ke lembah
tohmah-mentohmah dan fitnah-memfitnah. Akhirnya, ia mendedahkan hakikat si
pelaku fitnah dan mencalarkan kredibiliti nya sebagai pembawa khabar.
Al-Qadhi Abu Bakar ibn Al-'Arabi berkata di dalam kitabnya Siraj
al Muridin: "Allah telah memuliakan umat ini dengan isnad yang
tidak dikurniakan kepada umat yang lain. Maka berwaspadalah kalian agar tidak
menempuh jalan kaum Yahudi dan Nasrani iaitu dengan meriwayatkan hadis tanpa
isnad yang akan menyebabkan kalian memutuskan nikmat Allah daripada diri
kalian, menyebabkan diri kalian ditohmah dan kedudukan kalian menjadi rendah.
Juga menyebabkan kalian menyertai satu kaum yang dilaknat dan Perbahasan
mengenai isnad sebagai benteng daripada terdedah kepada gejala menokok
tambah sesuatu perkara baru di dalam agama dan membendung segala macam fitnah
memerlukan kepada ruang dan waktu yang banyak."
Semoga Allah SWT mempermudahkan buat kita semua untuk terus
mengupas, mengkaji dan mengambil faedah daripada perbahasan ini.
No comments:
Post a Comment