GAMBAR menunjukkan Fatima Munshi bekerja mencuci
lantai sebuah kediaman di Khandwa.
KHANDWA, India - Doa seorang ibu untuk menatap semula wajah
anak kandungnya yang terpisah sejak 25 tahun lalu akhirnya dimakbulkan.
Pada awal tahun ini, Fatima Munshi dapat bersua semula dengan
anak lelakinya, Saroo Brierley.
Pertemuan menyayat hati itu bermula apabila Saroo, 30,
memutuskan untuk pergi ke bandar ini bagi mencari ibunya selepas beberapa tahun
melakukan pencarian di internet berdasarkan memori zaman kanak-kanaknya.
Dia dan saudara lelakinya terpisah dengan ibu mereka selepas
terlibat dalam kemalangan di sebuah landasan kereta api di sini ketika masih
kecil.
Saroo kemudian diserahkan ke sebuah rumah anak yatim di
Calcutta, dekat sini, sebelum tinggal dengan sebuah keluarga angkat di
Tasmania, Australia.
Menurut Saroo, selepas beberapa hari mencari dengan bantuan
penduduk setempat, dia menemui ibunya tinggal di sebuah pondok kecil di sini
bersama dua adik beradiknya, Kallu and Shakila.
Sebaik sahaja mereka bersua muka, wanita itu memeluk dan
mengusap kepalanya sambil menangis.
"Saroo saya sudah kembali," kata Fatima.
"Tuhan akhirnya memakbulkan doa saya. Yang Maha Kuasa
akhirnya membawa Saroo saya pulang," tambah wanita itu.
Menurut Saroo, dia sempat tinggal bersama ibu dan adik
beradiknya selama 10 hari sebelum pulang ke Tasmania untuk menguruskan
perniagaan keluarga angkatnya.
Saroo turut menghantar duit belanja AS$100 (RM320) setiap
bulan kepada Fatima supaya ibunya tidak lagi perlu bekerja.
Namun, katanya, Fatima yang sebelum ini memperoleh AS$30
(RM96) sebulan dengan membersihkan kediaman dan mencuci pinggan mangkuk masih
meneruskan pekerjaan tersebut.
Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat Fatima untuk tinggal
sebumbung, Saroo yang kini mempunyai seorang teman wanita kulit putih
memberitahu, dia merancang untuk pulang ke India sekurang-kurangnya dua kali
setahun bagi melawat ibunya. - Agensi
No comments:
Post a Comment