Pages

Friday, 1 June 2012

Akal pemimpin, nafsu tawanan




NAFSU adalah musuh manusia yang menjadi laluan syaitan untuk melalaikan dan menyesatkan manusia.


Disebabkan nafsu, manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti dan mencederakan orang, malah membunuh. 


Apabila nafsu menguasai diri, hilang belas kasihan sehingga sanggup melakukan apa saja. 


Sejak kecil lagi, anak dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif dan ada yang negatif. 


Nafsu perlu dididik sejak kecil dan ibu bapalah yang patut memainkan peranan itu. Imam Al-Ghazali pernah menyarankan supaya anak tidak dimanjakan dengan kesenangan yang menggemukkan hawa nafsu. 


Sesekali biarlah anak berasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya. Jangan pula berkata: “Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah.” 


Itu sebenarnya pendapat yang salah kerana hakikatnya jika kecil payah dididik, apabila remaja atau dewasa lagilah sukar. 


Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik. 


Fahamkan kepada anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan baik. Biasakan anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa dan aurat supaya ia menjadi kebiasaan serta tabiat. 


Bantulah anak menahan nafsu negatif kerana kegagalan mendidik nafsu anak sejak awal, maka melahirkan manusia dewasa yang berbangga melakukan maksiat serta kemungkaran tanpa rasa menyesal. 


Zaman remaja adalah waktu cabaran hawa nafsunya teramat besar. Lebih-lebih lagi godaan dan dugaan sekeliling seperti budaya berpasangan, hiburan keterlaluan di sana sini, pengaruh dadah, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan internet yang tidak terkawal serta pelbagai lagi. 


Remaja yang tidak ada ‘pelindung’ iman dalam dirinya mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Tetapi, remaja berjiwa Islam boleh membezakan perkara yang makruf (baik) dan mungkar (jahat). 


Abdullah bin Mas’ud (sahabat Nabi s.a.w) berkata: “Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar.” 


Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. 


Seperti kata-kata seorang cendekiawan Islam: “Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan serta rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin selain akalnya sebagai tawanan.” 


Justeru, tepuk dada tanya iman. Apakah iman kita mampu mengekang nafsu atau kita hanya mengikut kata nafsu?

No comments:

Post a Comment