Pages

Friday, 29 June 2012

Kafa tunai janji beri bonus RM500,000 kepada pemain, pegawai

Tan Sri Annuar Musa


KOTA BAHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini menunaikan janjinya dengan memberi bonus berjumlah RM500,000 kepada 27 pemain dan 10 pegawai setelah menjuarai Piala FA musim ini.


Presiden KAFA yang digantung, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia mencakupi RM300,000 dalam bentuk tunai dan selebihnya berbentuk pakej percutian ke Eropah pada Disember ini.


"Memahami keperluan pemain, saya menasihati pengurusan KAFA untuk melunaskan bonus yang dijanjikan kepada pemain dengan menggunakan tabung kita sendiri kerana KAFA belum menerima apa-apa imbuhan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


"Pemain yang beraksi pada perlawanan akhir itu menerima kira-kira RM11,000 wang tunai dan pakej percutian RM9,000, manakala pemain lain yang beraksi kurang daripada tiga perlawanan menerima imbuhan berbeza yang difikirkan sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bonus tersebut di sini.


Kelantan mengalahkan pasukan berstatus kelab Sime Darby FC 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun mereka membawa pulang piala itu ke Kelantan.


Annuar berkata imbuhan itu juga sebagai menghargai prestasi membanggakan pasukan 'Red Warriors' dalam saingan Liga Super dan diharap mampu menyuntik semangat kepada pemain untuk beraksi lebih baik menentang Selangor malam esok di Stadium  Sultan Muhammad ke-IV.- Bernama

No comments:

Post a Comment