Pages

Friday 13 July 2012

Antara takdir dan nasib




SETIAP yang hidup pastinya tidak pernah terlepas dilanda ujian, berat atau ringan masalah itu semuanya bergantung pada individu tersebut untuk mengawalnya. Kekadang timbul persoalan dalam diri adakah itu sudah ditakdirkan untuk ku?


Pengertian takdir adakala disalah tafsirkan sehingga ada dalam kalangan masyarakat menyamakannya dengan nasib. Sebenarnya ada perbezaan antara kedua-duanya.


Takdir berasal daripada perkataan al- Qadr yang mana menurut syariat bermaksud sesungguhnya ALLAH SWT mengetahui sesuatu itu secara azali dan dengan kekuasaan-Nya, kehendak-Nya serta ilmu-Nya yang Maha Luas dijadikannya suatu ketetapan bukan hanya pada manusia tetapi juga kepada seluruh ciptaan-Nya di alam ini.


Maka inilah yang dikatakan catatan azali yang ditulis di Luh Mahfuz.


Punya keinginan 
 

Penceramah bebas, Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim berpandangan nasib boleh dikategorikan sebahagian daripada takdir yang mana hanya merangkumi aspek kehidupan manusia seperti kesenangan dan kesusahan, kebaikan dan keburukan serta kerugian dan keuntungan


Contoh takdir seperti seseorang mendapat pekerjaan sebagai seorang budak pejabat misalnya, manakala nasib yang bakal dilalui ialah sama ada dia akan dinaikkan pangkat atau tetap berada di takuk lama.


Menurutnya, tidak dapat dinafikan setiap insan mempunyai keinginan yang mahu dipenuhi dan kadangkala apa yang diperoleh tidak seperti apa yang dikehendaki.


"Mungkin secara rasionalnya, siapakah kita untuk melawan takdir ALLAH? Tetapi secara hakikatnya pula, tiada apa yang mustahil bagi ALLAH. ALLAH mampu melakukan apa sahaja dan ianya tidak mampu dicapai akal kita yang lemah,” ulasnya yang mesra disapa sebagai Ustazah Nurul.


Dalam al-Quran pun ada tercatat kata “Kun faya kun” pada beberapa tempat seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 117 yang bermaksud: “ALLAH Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: “Jadilah!” Lalu jadilah ia.”


Begitu juga dalam surah an-Nahl, ayat 40, ALLAH berfi rman yang bermaksud: “Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: “kun (jadilah)”, maka jadilah ia”. 
 

Oleh itu, janganlah takut dan ragu-ragu untuk meminta kepada-Nya kerana ALLAH juga telah berfi rman dalam surah al-Mu’min, ayat 60 yang bermaksud, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan-Ku perkenanan bagi mu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina”.


Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan. (Riwayat Tirmidzi).


Kuasa doa
 

Dalam Islam, ALLAH sangat mencintai orang-orang yang rajin bedoa kepada-Nya sebagaimana disebut dalam satu hadis bermaksud: “Mintalah anugerah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH senang untuk diminta.” (Riwayat Tirmizi). 
 

Nurul menjelaskan namun perlu diingatkan bahawa dalam berdoa kita harus mengetahui adab dan waktu yang mustajab. Di sini disenaraikan beberapa panduan berdoa:


Awali doa dengan Asmaul Husna

 
Dalam al-Quran antara yang disebutkan dalam surat al-A’raf ayat 7: "ALLAH mempunyai Asmaul Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaul Husna itu...”


Ucapkan dengan kalimah tauhid serta puji-pujian


Setelah membacakan Asmaul Husna, maka kita membacakan kalimah Tauhid sebagai ekspresi kita kepada ALLAH yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan tiada sekutu bagi-Nya.


Berdoa dengan prasangka baik


Berdoa dengan penuh keyakinan bahawa ALLAH akan selalu mengabulkan doa kita.


Berdoa dengan hati yang sungguh-sungguh

 
ALLAH akan mengabulkan doa dari hati yang bersih dan sungguh-sungguh dan tidak melakukannya dengan sambil lewa.


Berdoa dengan kerendahan hati


Buanglah kesombongan yang ada dalam diri kita dan tanamkan sifat kehambaan kita kepada-Nya.


Berdoa dengan permintaan yang jelas


Biar lebih fokus atau jika perlu, sebutkan dengan spesifik.


Manfaatkan waktu yang baik

 
ALLAH Maha Mendengar segala permohonan hambanya tidak kira bila atau di mana. Adalah lebih baik kita manfaatkan waktu yang lebih mustajab, antaranya di sepertiga malam, waktu tengah malam dan setelah solat fardu, saat berada dalam kelapangan, ketika bersujud di hari Jumaat dan antara azan serta iqamat.


Perlu berusaha
 

"Dari segi individu yang berdoa, sepertimana yang saya sebutkan di atas, ALLAH memakbulkan doa daripada hati yang bersih. Adalah hak-Nya untuk menerima permohonan hambanya yang berhati jahat kerana Dia yang lebih mengetahui.


“Apa yang boleh saya kongsi secara ringkas ialah berdasarkan satu kisah di mana ketika Rasulullah bertemu seorang pemuda yang sedang berdoa," katanya.


Menurut kisah tersebut, pemuda itu berdoa dalam tempoh yang berjam-jam lamanya. Ketika itu dia berada dalam keadaan bermusafir di mana pada waktu musafir juga doa akan diangkat atau mustajab. Tetapi doa pemuda ini tidak dimakbulkan.


Kenapa? "Rupa-rupanya ada sesuatu yang menghalang dari termakbulnya doa iaitu pemuda ini memakan makanan dari sumber yang tidak baik dan tidak halal,” kata anak kelahiran Kulim ini lagi.


Sebagai manusia yang dikurniakan akal yang waras untuk berfi kir, jangan bersikap menerima jika tahu keputusan yang dibuat itu akan menghancurkan hidup. Oleh itu, layak bagi kita berdoa dan berusaha untuk mendapat kebahagiaan dalam hidup sementara ini.

2 comments: