Bekas Presiden Fifa, Joao Havelange
GENEVA -
Bekas Presiden Fifa, Joao Havelange dan ketua bola sepak Brazil, Ricardo
Teixeira menerima lebih RM45 juta daripada sebuah syarikat pemasaran yang sudah
pun gulung tikar, demikian menurut dokumen yang didedahkan di mahkamah
Switzerland semalam.
Havelange
yang berusia 96 tahun menerima sekurang-kurangnya 1.5 juta Swiss franc (AS$1.53
juta atau RM4.5 juta) manakala Teixeira, bekas menantunya, dibayar sekurang-kurangnya
12.4 juta Swiss franc (AS$12.64 juta atau RM40.3 juta).
Bayaran itu
yang dibuat oleh International Sport and Leisure (ISL), diperincikan dalam
penghakiman dibuat oleh mahkamah agung Switzerland, yang turut disiarkan
menerusi laman web rasmi Fifa.
ISL, belas
rakan pemasaran rasmi bagi Fifa dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),
diisytiharkan muflis pada 2001 ekoran hutang dalam lingkungan AS$300 juta.
Havelange
berundur sebagai Presiden Fifa pada 1998 selepas menerajui Fifa selama 24 tahun.
Beliau masih
merupakan Presiden Kehormat Fifa.
Beliau
meletakkan jawatan sebagai anggota IOC Disember lalu atas alasan kesihatan.
Keputusan meletakkan jawatan itu dibuat beberapa hari sebelum tindakan
dikenakan oleh jawatankuasa etika IOC ekoran pendedahan penerimaan bayaran oleh
ISL kepada pemimpin-pemimpin kanan pertubuhan sukan.
Teixeira
pula dipaksa melepaskan jawatannya dari jawatankuasa eksekutif Fifa dan ketua
jawatankuasa penganjuran Piala Dunia 2014 Brazil awal tahun ini apabila
menyedari laporan mengenai skandal itu sudah mahu terbit.
Kedua-duanya
cuba untuk menghalang penerbitan itu di mahkamah Switzerland.
Dalam pada
itu, Fifa dalam kenyataannya menerusi laman web menegaskan pihaknya
"senang" apabila dokumen-dokumen itu didedahkan kepada umum.
Kenyataan
itu menambah, nama Havelange dan Teixeira disebutkan dalam dokumen
manakala Presiden semasa, Sepp Blatter tidak ada.
No comments:
Post a Comment