Pages

Friday 13 July 2012

Demi kuasa dan lubuk minyak





LIMA pulau gunung berapi dan tiga kawasan berbatu yang membentuk Kepulauan Senkaku menjadi subjek rebutan tiga negara iaitu China, Jepun dan Taiwan. Kawasan tidak berpenghuni berkeluasan tujuh kilometer (km) persegi itu terletak di timur laut Taiwan, timur China dan barat daya Jepun.


Rundingan San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951 menyaksikan Kepulauan Nansei Shoto yang sebelum itu dipegang oleh Amerika Syarikat (AS) dipulangkan semula kepada Jepun pada tahun 1971. 


Pengurusan Kepulauan Senkaku yang terletak di timur laut China itu pula diserahkan kepada Jepun pada 14 Februari 1985 yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada Kepulauan Nansei Shoto atau Ryukyu yang kini dikenali sebagai wilayah Okinawa.


Tiada bantahan disuarakan China dan Taiwan ketika itu sehinggalah penemuan sumber minyak dan gas asli disahkan di kepulauan berkenaan.


Difahamkan sumber minyak di Senkaku boleh mencecah 100 bilion tong. Hasil bumi tersebut dianggarkan bernilai AS$6 trilion (RM19 trilion) dan dikatakan melebihi daripada keluaran negara kasar (KNK) tahunan AS. Sebagai tambahan, sebanyak 200 bilion meter kubik gas asli juga bersemadi di kawasan sekitar.


China menyatakan pulau Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh mereka adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba lagi. Ia menjadi lokasi sumber hasil laut yang penting ketika Taiwan masih berada di bawah pemerintahan China.


Pada tahun 1996, Jepun mendirikan rumah api di salah sebuah pulau di kepulauan tersebut. Sekumpulan aktivis China kemudiannya belayar beberapa kali di kepulauan itu dan dalam satu insiden, seorang aktivis Hong Kong, David Chan terjun ke dalam laut dan mati lemas.


Selepas itu, cubaan aktivis-aktivis China dan Taiwan untuk memasuki kawasan kepulauan itu berkurang. Pada tahun 2004, Jepun menahan tujuh aktivis China yang mendarat di kepulauan itu.


Terdapat juga ketegangan melibatkan bot-bot peronda China dan kapal-kapal nelayan Taiwan. Pada tahun 2005 pula, 50 bot nelayan Taiwan mengadakan protes berhampiran kepulauan itu kerana sering dihalau dan diganggu peronda laut Jepun.


Sorotan pertikaian Senkaku terus meruncing dan yang terbaharu apabila tiga bot peronda China memasuki perairan kepulauan berkenaan. Hal tersebut tidak disenangi Jepun yang meminta wakil China tampil membuat kenyataan.














 


PULAU Dokdo kini terletak di bawah pengawasan polis Korea Selatan meskipun Jepun masih menuntut hak ke atas pulau ini.

 
"Sudah jelas bahawa pulau Senkaku terletak dalam wilayah Jepun dengan mengambil kira pandangan sejarah dan dari segi undang-undang antarabangsa. Pulau itu di bawah kawalan efektif sepenuhnya oleh kami." ujar Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura.


Namun, China tetap berkeras untuk mendapatkan kedaulatan Senkaku, malah dikhabarkan memperkuatkan ketenteraan mereka di sekitar perairan tersebut.


Spratly rebutan enam negara  

         
Perebutan Kepulauan Senkaku hakikatnya telah membawa kita untuk melihat dengan meluas mengenai perebutan banyak lagi pulau-pulau lain di Asia Timur.


Hanya beberapa kes berjaya menemui titik penghujung sebagai contoh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 menetapkan kedaulatan Pulau Batu Putih diberikan kepada Singapura berbanding Malaysia.


Selebihnya, persengketaan lain terus panas dan belum berpenghujung. 


Sebagai contoh Kepulauan Takeshima atau Dokdo sehingga kini menjadi pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.


Tuntutan yang dilakukan Jepun pada tahun 1905 itu sejajar dengan rampasan Semenanjung Korea ketika itu. Bagaimanapun Korea Selatan mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.
















 
BOT peronda China yang memasuki perairan Senkaku baru-baru ini mencetuskan kemarahan Jepun.


Selain itu, Kepulauan Spratly yang dituntut China, Malaysia, Filipina, Taiwan, Vietnam dan Brunei mungkin merupakan perebutan paling epik dalam sejarah.


Kepulauan yang terdiri daripada 190 pulau kecil di kawasan berkeluasan kira-kira lima km persegi di Laut China Selatan itu dikhabarkan mempunyai sumber minyak dan gas yang amat menguntungkan. 


China menuntut keseluruhan kawasan kepulauan yang didakwa adalah milik mereka sejak tahun 200 Sebelum Masihi. Negara-negara lain pula hanya mahukan beberapa bahagian pulau tersebut.


Krisis pergelutan keenam-enam negara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua.


Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia pada lewat tahun 1970-an.


Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu dipanjangkan sehingga tahun 2002.


Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun, konflik kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut. Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi minyak di kawasan persekitaran.


Perkembangan terbaharu menyaksikan anggota negara Asia mahu konvensyen maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi asas penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan.


Bagaimanapun, China dikhabarkan tidak berminat untuk merujuk kepada PBB.


Yeonpyeong dan Kuril


Permusuhan Korea Utara dan Korea Selatan bukan lagi asing. Konfrontasi dua negara itu memuncak apabila melibatkan perebutan Pulau Yeonpyeong. Pulau yang terletak di Garisan Terbatas Utara (NLL) Laut Kuning itu, kini bertindak sebagai sempadan maritim dua buah negara tersebut.


Korea Utara bagaimanapun menolak NLL yang direka PBB kerana ia dianggap berat sebelah. 


Ia menyebabkan Korea Utara melakukan serangan ke atas Korea Selatan pada tahun 2010. 














 


KEPULAUAN Spratly menjadi rebutan enam negara dan masih belum bertemu penyelesaian. 


Sementara itu, Kepulauan Kuril yang telah disahkan sebagai hak milik Rusia kembali dituntut Jepun. Pulau Etofuru, Kunashiri, Shikotan dan Habomai yang membentuk Kuril dipunyai oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1945. 


Berdasarkan tuntutan Soviet, kesemua pulau perlu diserahkan kepada mereka menerusi Perjanjian Pasca Perang Dunia Kedua Yalta dan Potsdam dan kerajaan Rusia telah pun menetapkan polisi tersebut.


Jepun kekal dengan pendirian mereka yang mengatakan bahagian utara kepulauan itu ialah sebahagian integral negara mereka yang diambil secara haram oleh Kesatuan Soviet.


Mengulas lanjut mengenai perebutan pulau-pulau di Asia Timur itu, Profesor Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohamad Agus Yusoff menyatakan, ia didorong oleh faktor-faktor seperti maruah, sejarah, geografi, keselamatan, pertahanan dan sumber alam.


Jelas beliau setiap negara yang menuntut sesebuah pulau mahu menang demi meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.


"Dalam kes Senkaku, kedudukan strategik di Laut China Timur menjadikannya lokasi terbaik untuk pembentukan pusat maritim. Selain itu ia juga berpotensi tinggi untuk pelancongan dan ekonomi menerusi hasil minyak serta gas asli.


"Sebagai contoh sekiranya China atau Jepun memenangi tuntutan dan kemudiannya mendirikan markas ketenteraan laut di kepulauan itu, Taiwan pasti bimbang dengan keselamatan negara mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment