Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan
Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin
KOTA BHARU -
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyambut baik keputusan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan trofi Liga Super pada perlawanan terakhir
menentang Sarawak di sini, Sabtu ini.
Berita baik tersebut disahkan oleh Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail yang dihubungi Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada FAM yang mempertimbangkan rayuan dikemukakan menerusi sepucuk surat oleh Kafa dua hari lalu.
"Piala tersebut akan disampaikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah sebaik sahaja perlawanan Kelantan menentang Sarawak berakhir malam Sabtu ini," katanya.
Kelantan disahkan sebagai juara Liga Super minggu lalu.
Dalam pada itu, Hamidin berkata, perubahan dibuat selepas menerima permohonan rayuan Kafa berhubung penyerahan piala Liga Super yang pada asalnya dijadualkan akan dibuat di Wisma FAM.
"Selepas meneliti rayuan yang dikemukakan oleh Kafa akhirnya pihak FAM bersetuju akan menyerahkan Piala tersebut pada hari Sabtu ini.
"Demi menghargai sokongan peminat tempatan khususnya Kelantan dan kemeriahan sukan bola sepak , kita membuat keputusan ini untuk kebaikkan bersama," kata Hamidin ketika dihubungi di Kuantan.
Sebelum ini, penyerahan Piala Liga Perdana (ATM) dan Liga Super (Kelantan) akan diadakan pada 20 Julai di Wisma FAM hingga menyebabkan penyokong setia The Red Warriors (TRW) kurang berpuas hati dengan tindakan FAM memandangkan pada hari yang sama pasukan kesayangan mereka bakal beraksi menentang Quen Park Rangers (QPR) dalam persahabatan pada sebelah malam di Stadium Shah Alam.
Hamidin yang turut Naib Presiden FAM menjelaskan, ATM juga bakal menerima Piala Liga Perdana selepas berakhirnya perlawanan menentang Pos Malaysia, Jumaat ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
"ATM yang menjuarai Liga Perdana 2012 akan menerima piala Liga Perdana sejurus berakhirnya perlawanan menentang Pos Malaysia," katanya.
"Penyampaian wang tunai dan medal kepada pasukan Kelantan dan ATM tetap diadakan di Wisma FAM, 20 Julai nanti," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment