SOLAT tarawih walaupun tidak
diwajibkan ke atas orang Islam, namun ia membawa kelebihan tersendiri jika
dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
PADA bulan
mubarak ini elok sangatlah kita bersama-sama bermuhasabah tentang amal ibadah
kita. Antaranya ialah solat tarawih yang hanya setahun sekali dapat kita
laksanakan.
Tarawih
bermaksud berehat-rehat atau bersenang-senang. Oleh itu, solat tarawih
dianjurkan untuk dilakukan secara berjemaah dan diselang-selikan dengan doa dan
selawat seperti yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita agar para jemaah
dapat menikmati ibadah dalam penuh kekhusyukan dan ketenangan.
Solat
tarawih dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW pada malam-malam bulan Ramadan.
Kali pertama, baginda keluar ke Masjid Nabawi untuk bersolat tarawih dan
diikuti oleh sebilangan sahabat.
Begitu juga
pada malam kedua dan pada malam ketiga. Bilangan sahabat semakin ramai dan
menanti untuk mendirikan solat tarawih bersama Baginda. Akan tetapi, Baginda
tidak keluar untuk bersolat dengan sahabat.
Pada
keesokan paginya, Baginda bersabda: "Sungguh aku telah menyaksikan apa
yang kamu semua lakukan. Tidak ada yang menghalangku untuk keluar (solat
tarawih) bersama kamu semua selain aku khuatir sekiranya ia difardukan kepada
kamu semua."
Tidak
keluarnya Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat bersama sahabat pada waktu
itu adalah kerana Baginda SAW khuatir jika dilakukan terus-menerus ia akan
menjadi wajib ke atas umatnya.
Itulah tanda
kasih sayang Baginda pada umatnya, walhal ada riwayat dari Aisyah yang
mengatakan setelah Baginda pulang mengerjakan tarawih di masjid, Baginda
menyambung solatnya sehingga hampir subuh dan tidak kurang daripada 20 rakaat,
bahkan lebih dari itu yang dikerjakan oleh Baginda.
Dewasa ini
para umatnya mengambil kesempatan atas keprihatinan Baginda sehingga
meringankan ibadah tarawih, bahkan timbul perbalahan tentang bilangan rakaat
solat terawih.
Solat
tarawih ialah solat sunat bagi lelaki dan wanita yang dilakukan setelah solat
Isyak sebelum solat witir pada bulan Ramadan. Ia ditunaikan secara berjemaah
dengan memberi salam pada setiap dua rakaat.
Dari Abu
Hurairah, dia berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat mementingkan
solat malam bulan Ramadan dengan perintah yang tidak mewajibkan.
Baginda
bersabda: "Siapa yang menunaikan solat tarawih dengan penuh keimanan dan
pengharapan (akan keredaan Allah), maka diampunkan dosanya yang telah
lalu."
Tentang
bilangan rakaat solat tarawih, jumlah tersebut (20 rakaat) dijelaskan oleh
Saidina Umar al-Khattab melalui perbuatan ketika terakhir kali berkumpul dengan
sahabat yang solat di belakang seorang imam.
Para sahabat
sepakat terhadap yang demikian, begitu juga sepeninggalan beliau, para Khalifah
ar Rasyidin tidak ada yang mempertikaikannya.
Seperkara lagi,
kita perlu saling mengingatkan bahawa solat tarawih merupakan sunat muakkad.
Namun begitu, ramai dalam kalangan masyarakat kita tersalah anggap dan tersalah
lakukan.
Solat yang
fardu lima waktu tidak dipelihara tetapi solat tarawih yang dikejarkan. Ini
berlaku kerana umat Islam tidak menitikberatkan soal awlawiyyat (keutamaan)
sehingga mendahulukan yang sunat ke atas yang fardu.
Diharapkan
Ramadan tahun ini kita berubah menjadi insan kamil dan beribadah sehendaknya
serta beribadah dengan ilmu agar tidak lagi menjadikan Ramadan sebagai pentas
lakonan semata-mata.
No comments:
Post a Comment