expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, 19 July 2012

Jimat wang ketika membeli-belah




MASYARAKAT sentiasa menghabiskan sejumlah wang besar untuk membeli barangan runcit bagi kegunaan harian. Perancangan teliti sebelum membeli barang kegunaan harian dan kaedah penjimatan bagi bahan makanan di pasar raya merupakan cara mudah untuk mengurangkan kos perbelanjaan rumah tangga.


Sekiranya individu hendak menjimatkan jumlah perbelanjaan bulanan masing-masing, pengguna hanya perlu melakukan beberapa penyesuaian mudah:




Pemilihan barangan jenama generik atau ‘store brand’ sedia ada di pasar raya sememangnya menggunakan bahan sama namun pembeli membayar lebih dengan memilih jenama barangan tertentu.


Ketika membeli-belah, pengguna gemar melihat barangan yang disusun di rak teratas dan sentiasa membeli barangan pada aras mata sebaliknya ada yang langsung tidak mengendahkan barangan yang disusun di rak-rak bawah. Padahal, barang-barang yang disusun di rak terbawah merupakan barangan berharga rendah.


Bagi menggelakkan perbelanjaan tambahan, konsumer boleh makan sebelum membeli-belah di pasar raya. Ini bukan sahaja dapat menghindari pengguna daripada berbelanja di restoran makanan segera malah keinginan pengguna untuk membeli bahan makanan lebih juga akan kurang kerana tidak lapar.




 
Penyediaan senarai barangan yang hendak dibeli akan membantu pengguna ketika membeli barangan harian. Barang yang di senarai dan bahan yang diperlukan untuk sesuatu hidangan sahaja dibeli dan tidak membeli dengan sewenang-wenangnya mampu mengurangkan kos membeli-belah.


Individu juga digalakkan membeli-belah secara bersendirian. Membeli-belah bersama keluarga dan anak boleh menyebabkan seseorang berbelanja lebih untuk item yang mereka inginkan serta yang tiada tercatat dalam senarai anda.


Seandainya pengguna ingin membeli-belah, bawalah sejumlah wang yang kecil seperti RM50 atau RM100. Ia boleh menghindari seseorang daripada berbelanja lebih dan cuma membeli barangan yang diperlukan sahaja.


Setiap pasar raya sememangnya disusun dengan item tertentu di kaunter pembayaran bagi menarik minat pelanggan.


Pengguna diingatkan supaya menghindari daripada melakukan pembelian di saat terakhir di kaunter pembayaran.


Walaupun pelbagai cara untuk berjimat ketika membeli-belah namun pilihan masih di tangan pengguna. Jadilah pembeli yang bijak dan berbelanjalah mengikut bajet.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com