KUALA
TERENGGANU - Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) XV, Abdul Mubin Rahim
memperoleh kegembiraan berganda apabila kerajaan Terengganu mengumumkan
insentif tambahan sebanyak RM10,000 sebagai menghargai kejayaannya.
Atlet angkat
berat itu berkata, dia secara peribadi sangat bangga dengan kejayaannya dan
bersyukur dengan pemberian insentif khas itu, yang diumumkan Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
"Saya
bersyukur kerana dapat menyumbang emas kepada kontinjen Terengganu namun apa
yang lebih menggembirakan, saya berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara
angkat berat yang mana ia merupakan misi besar saya pada Sukma kali ini.
"Jumlah
imbuhan yang diberikan amat besar dan saya berhasrat menyimpan wang tersebut
bagi kegunaan masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas
menghadiri majlis makan tengah hari bersama Menteri Besar dan barisan exco di
Wisma Darul Iman, semalam.
Atlet
kelahiran Seberang Takir berusia 21 tahun itu, merupakan anak keenam daripada
13 beradik dan mula menceburi sukan angkat berat sejak dari zaman persekolahan.
"Di
sebalik kejayaan saya, peranan jurulatih amat penting dalam menguruskan jadual
latihan serta banyak memberi dorongan kepada saya melakukan yang terbaik bagi
mengharumkan nama negeri.
"Kata-kata
semangat daripada ibu juga adalah pencetus kejayaan saya ini.
"Walaupun
keluarga tidak dapat hadir menemani saya di Pahang, saya sentiasa menghubungi
ibu untuk mendapatkan lebih motivasi," katanya.
Abdul Mubin
yang memenangi emas kategori berat badan 77kg, dipilih Olahragawan Sukma XV
apabila mencipta rekod baru kebangsaan dengan angkatan 171kg dalam acara clean
& jerk, memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara, Mohd. Hidayat
Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2003.
No comments:
Post a Comment