Pages

Thursday, 19 July 2012

Sukma: Pungut 62 emas atasi pencapaian 2008


















Wan Nawawi (tengah) diiringi Zainal (dua kanan) dan Ibni Amin (kanan) memotong kek sebagai simbolik meraikan kejayaan kutipan emas ke-62


KUANTAN – Kontinjen Terengganu bukan sahaja berjaya melepasi sasaran awal 47 pingat emas malah berjaya melepasi rekod kutipan pingat emas (62) sewaktu menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008. Ketua kontinjennya, Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kejayaan yang diraih atletnya adalah ketentuan Ilahi biarpun terpaksa berdepan dengan ketiadaan beberapa atlet dan acara kegemaran yang mampu menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen.


Menurutnya, pencapaian amat memberangsang dari segi pungutan pingat emas.


“Berdasarkan perancangan asal, sasaran kutipan 47 pingat emas adalah hari ini (kelmarin), bagaimanapun kita berjaya mencapai sasaran itu dua hari lebih awal dan bermula dari situ kita mula memasang sasaran baru iaitu melepasi 50 pingat emas.


“Alhamdulilah pada hari ketujuh kita berjaya melangkaui angka itu dengan 53 pingat emas dan kita hanya menyasarkan 8 pingat emas (kelmarin) namun kita berjaya meraih 9 pingat emas,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika meraikan kejayaan meraih pingat emas ke-62 di lobi Hotel MS Gaden, dekat sini malam kelmarin.


Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin. Timbalannya, Ibni Amin Busu, pengurus pasukan, pegawai dan urusetia. Dalam pada itu, Wan Nawawi mengakui kontinjen Selangor merupakan pencabar terdekat Terengganu namun dengan semangat juang ‘Terengganu Hanelang’ dalam kalangan atletnya mereka berjaya meninggalkan Selangor dengan 45 emas ketika Terengganu meraih 53 pingat emas.


Sementara itu, Wan Nawawi berkata, beliau amat berpuas hati apabila kontinjen Terengganu telah melepasi sasaran pingat emas pada Sukma kali ini.


"Dengan kemenangan ini membuka lembaran baru bagi Terengganu yang sebelum ini dilabelkan jaguh kampung, sebaliknya juara sukan negara.


“Terengganu tidak perlu bimbang atau gusar apabila atlet negeri ini yang menyumbangkan pingat emas tidak ada kerana Sukma Pahang telah membukti Terengganu tetap mampu memberikan yang terbaik,” katanya. 

No comments:

Post a Comment