Pages

Saturday 14 July 2012

Prioriti akidah dalam kehidupan




Kita hidup pada zaman yang serba canggih namun masih terdapat sebilangan umat Islam yang menyembah kubur dan memohon pertolongan daripada bomoh yang didampingi syaitan.


Pelbagai pertolongan yang dipinta seperti menyelesaikan masalah seperti ilmu pengasih, menyihir orang, pelaris perniagaan, menilik, tambah rezeki dan mohon zuriat.


Inilah bencana dan petaka yang menimpa kepada mereka yang rosak aqidahnya.


Mereka remehkan peringatan ALLAH SWT mengenai betapa hodohnya dosa syirik. ALLAH berfi rman (maksudnya):


“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisa' : 48).


Syirik adalah dosa paling besar dan pelakunya akan dimasukkan ke neraka.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mati dalam keadaan menyembah sesembahan selain ALLAH, maka masuklah ia ke dalam neraka”. (Riwayat Bukhari)


Dek terdesak dan kurang ilmu atau sengaja meremehkan hukum agama, seseorang sanggup berjumpa bomoh yang didampingi syaitan.


Mereka yang meminta pertolongan tok bomoh (atau orang alim) yang didampingi syaitan, bersolat atas kubur, berdoa kepada ahli kubur, memohon pertolongan roh wali sering beralasan bahawa orang tersebut rapat dengan ALLAH SWT. Perkara ini boleh dielakkan atau di atasi dengan mempelajari ilmu aqidah yang benar.




Ilmu batiniah 


Sebahagian daripada ciri bomoh yang didampingi syaitan adalah seperti berikut.


Di dalam rumah bomoh terdapat keris lama yang tergantung di dinding. Hulu keris dibalut dengan kain kuning. Di dinding juga terdapat rajah yang berasaskan ilmu batiniah iaitu ilmu Farsi kuno yang menggunakan huruf Jawi tertentu.


Huruf Jawi disusun dalam aturan dan jumlah tertentu. Sesetengah bomoh menggantung potret Wali Songo di dinding.


Kebiasaannya bomoh tersebut mengaku mereka adalah keturunan seorang daripada wali tersebut yang entah mana hujung pangkal kesahihannya.


Ada juga bomoh yang belajar dan mengamalkan bagaimana mendudukkan saka pada diri seseorang.


Menurut tok bomoh sendiri biasa menggunakan saka orang lain dalam usaha pengubatan.


Sebahagian jampi mantera yang dibaca tok bomoh akan didapati menyeru wali tertentu atau roh seseorang.


Sesetengah tok bomoh memberitahu ahli keluarga pesakit bahawa seorang nenek dan pembantunya (semua sudah jadi arwah) akan datang ke kediaman pesakit bagi membantunya dengan cara tertentu.


Bomoh diperolok-olokkan syaitan sering mendahulukan soalan siapa yang hantar jin yang sedang merasuk seseorang pesakit.


Dengan bertanyakan soalan tersebut, sebenarnya sentiasa memberi kemenangan kepada syaitan. Jin yang merasuk manusia sebenarnya jahil dalam membuat pertimbangan.


Tidakkah jawapan yang dikeluarkan dari mulut jin akan menjadi bala apabila ia menyebut nama orang yang menghantarnya iaitu seorang ahli keluarga si pesakit?


Sesungguhnya jin yang merasuk manusia mempunyai pelbagai sebab. Antaranya, si pesakit mengabaikan perintah ALLAH dan melakukan banyak dosa secara berterusan.


Antara sebab jin masuk ke dalam badan manusia apabila seseorang durhaka kepada ibu bapa.



 
Asas kebajikan


ALLAH SWT melarang seseorang anak berkata ‘ah’ kepada kedua orang tuanya. Di sini penulis bentangkan ayat penuh yang didahului dengan asas aqidah.


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika seorang daripada antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaan mu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlaWahai Rabbku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa: 23-24).


Setiap anak perlu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperintah ALLAH. Dengan itu, anak dan orang tuanya amat berbahagia dan pahalanya amat besar di sisi ALLAH. 


Sebaliknya apabila seseorang anak mengingkarinya maka berdosa besar. Pelaku dosa besar amat disukai syaitan. Perbuatan anak membelakangkan kebajikan ibu bapa dianggap rakan syaitan.


Bercakap secara sopan-santun ialah kebajikan. Buat muka, bersungut apatah lagi menjerit, mengherdik dan memaki hamun amat disukai syaitan.


Itulah sebabnya seekor jin seperti dikatakan ulama dakwah terkemuka Timur Tengah, Syeikh Wahid Abdussalam Bali dalam bukunya Wiqayatul insan minal jinni was Syaitan, telah merasuk diri seorang remaja perempuan setelah mengherdik ibunya!


Mensyirikkan ALLAH tidak hanya bermaksud berlaku apabila seseorang menyembah berhala atau mengakui ada tuhan lain selain ALLAH. Dalam masalah ibadah, apabila sesuatu ibadah dipalingkan selain daripada ALLAH, maka ia termasuk dalam perbuatan syirik. Malah ulama yang takabur (sombong) dan ujub (bangga/kagum dengan diri sendiri) juga dilihat sebagai syirik.


Aqidah ialah asas kepada segala tindak-tanduk Muslim. Ini adalah perbuatan hati iaitu keyakinan hati dan pembenaran sepenuhnya terhadap sesuatu.




 
Aqidah menurut syarak pula meliputi Rukun Iman yang bermaksud beriman kepada ALLAH, beriman kepada malaikat, kitab, rasul, kiamat serta qada dan qadar-Nya.


Sebahagian ulama memberi maksud aqidah sebagai keimanan yang mantap dalam hati seseorang. Aqidah sepatutnya menjadi pedoman prioriti sepanjang kehidupan.


Ia menjadi tapak asas agama dan syarat sah amal seseorang. Aqidah yang berkaitan dengan rasa cinta kepada ALLAH dan Rasulullah SAW juga adalah asas untuk mendisiplinkan diri seseorang Muslim untuk kebahagiaan dirinya, keluarganya, sahabat handai, masyarakat dan alam sekeliling. 

No comments:

Post a Comment