Kita hidup
pada zaman yang serba canggih namun masih terdapat sebilangan umat Islam yang
menyembah kubur dan memohon pertolongan daripada bomoh yang didampingi syaitan.
Pelbagai pertolongan yang dipinta seperti menyelesaikan masalah seperti ilmu pengasih, menyihir orang, pelaris perniagaan, menilik, tambah rezeki dan mohon zuriat.
Inilah bencana dan petaka yang menimpa kepada mereka yang rosak aqidahnya.
Mereka remehkan peringatan ALLAH SWT mengenai betapa hodohnya dosa syirik. ALLAH berfi rman (maksudnya):
“Sesungguhnya
ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang
selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah
An-Nisa' : 48).
Syirik
adalah dosa paling besar dan pelakunya akan dimasukkan ke neraka.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mati dalam keadaan menyembah
sesembahan selain ALLAH, maka masuklah ia ke dalam neraka”. (Riwayat Bukhari)
Dek terdesak dan kurang ilmu atau sengaja meremehkan hukum agama, seseorang sanggup berjumpa bomoh yang didampingi syaitan.
Mereka yang
meminta pertolongan tok bomoh (atau orang alim) yang didampingi syaitan,
bersolat atas kubur, berdoa kepada ahli kubur, memohon pertolongan roh wali
sering beralasan bahawa orang tersebut rapat dengan ALLAH SWT. Perkara ini
boleh dielakkan atau di atasi dengan mempelajari ilmu aqidah yang benar.
Ilmu
batiniah
Sebahagian
daripada ciri bomoh yang didampingi syaitan adalah seperti berikut.
Di dalam
rumah bomoh terdapat keris lama yang tergantung di dinding. Hulu keris dibalut
dengan kain kuning. Di dinding juga terdapat rajah yang berasaskan ilmu
batiniah iaitu ilmu Farsi kuno yang menggunakan huruf Jawi tertentu.
Huruf Jawi
disusun dalam aturan dan jumlah tertentu. Sesetengah bomoh menggantung potret
Wali Songo di dinding.
Kebiasaannya bomoh tersebut mengaku mereka adalah keturunan seorang daripada wali tersebut yang entah mana hujung pangkal kesahihannya.
Ada juga
bomoh yang belajar dan mengamalkan bagaimana mendudukkan saka pada diri
seseorang.
Menurut tok
bomoh sendiri biasa menggunakan saka orang lain dalam usaha pengubatan.
Sebahagian
jampi mantera yang dibaca tok bomoh akan didapati menyeru wali tertentu atau
roh seseorang.
Sesetengah tok bomoh memberitahu ahli keluarga pesakit bahawa seorang nenek dan pembantunya (semua sudah jadi arwah) akan datang ke kediaman pesakit bagi membantunya dengan cara tertentu.
Bomoh
diperolok-olokkan syaitan sering mendahulukan soalan siapa yang hantar jin yang
sedang merasuk seseorang pesakit.
Dengan
bertanyakan soalan tersebut, sebenarnya sentiasa memberi kemenangan kepada
syaitan. Jin yang merasuk manusia sebenarnya jahil dalam membuat pertimbangan.
Tidakkah
jawapan yang dikeluarkan dari mulut jin akan menjadi bala apabila ia menyebut
nama orang yang menghantarnya iaitu seorang ahli keluarga si pesakit?
Sesungguhnya
jin yang merasuk manusia mempunyai pelbagai sebab. Antaranya, si pesakit
mengabaikan perintah ALLAH dan melakukan banyak dosa secara berterusan.
Antara sebab
jin masuk ke dalam badan manusia apabila seseorang durhaka kepada ibu bapa.
Asas
kebajikan
ALLAH SWT melarang seseorang anak berkata ‘ah’ kepada kedua orang tuanya. Di sini penulis bentangkan ayat penuh yang didahului dengan asas aqidah.
Firman ALLAH
SWT yang bermaksud: “Dan Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan
sebaik-baiknya. Jika seorang daripada antara keduanya atau kedua-duanya sampai
berumur lanjut dalam pemeliharaan mu, maka sekali-kali janganlah kamu
mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan
ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap
mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlaWahai Rabbku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana
mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa: 23-24).
Setiap anak
perlu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperintah ALLAH. Dengan itu, anak
dan orang tuanya amat berbahagia dan pahalanya amat besar di sisi ALLAH.
Sebaliknya
apabila seseorang anak mengingkarinya maka berdosa besar. Pelaku dosa besar
amat disukai syaitan. Perbuatan anak membelakangkan kebajikan ibu bapa dianggap
rakan syaitan.
Bercakap secara sopan-santun ialah kebajikan. Buat muka, bersungut apatah lagi menjerit, mengherdik dan memaki hamun amat disukai syaitan.
Itulah
sebabnya seekor jin seperti dikatakan ulama dakwah terkemuka Timur Tengah,
Syeikh Wahid Abdussalam Bali dalam bukunya Wiqayatul insan minal jinni was
Syaitan, telah merasuk diri seorang remaja perempuan setelah mengherdik ibunya!
Mensyirikkan ALLAH tidak hanya bermaksud berlaku apabila seseorang menyembah berhala atau mengakui ada tuhan lain selain ALLAH. Dalam masalah ibadah, apabila sesuatu ibadah dipalingkan selain daripada ALLAH, maka ia termasuk dalam perbuatan syirik. Malah ulama yang takabur (sombong) dan ujub (bangga/kagum dengan diri sendiri) juga dilihat sebagai syirik.
Aqidah ialah
asas kepada segala tindak-tanduk Muslim. Ini adalah perbuatan hati iaitu
keyakinan hati dan pembenaran sepenuhnya terhadap sesuatu.
Aqidah
menurut syarak pula meliputi Rukun Iman yang bermaksud beriman kepada ALLAH,
beriman kepada malaikat, kitab, rasul, kiamat serta qada dan qadar-Nya.
Sebahagian
ulama memberi maksud aqidah sebagai keimanan yang mantap dalam hati seseorang.
Aqidah sepatutnya menjadi pedoman prioriti sepanjang kehidupan.
Ia menjadi
tapak asas agama dan syarat sah amal seseorang. Aqidah yang berkaitan dengan
rasa cinta kepada ALLAH dan Rasulullah SAW juga adalah asas untuk
mendisiplinkan diri seseorang Muslim untuk kebahagiaan dirinya, keluarganya,
sahabat handai, masyarakat dan alam sekeliling.
No comments:
Post a Comment