TERENGGANU terus membuktikan reputasi
sebagai kuasa sukan negara pada Sukma ke-15.
KONTINJEN
Terengganu hanya menunggu masa untuk dimahkotakan selaku juara keseluruhan
Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.
Tampil
selaku juara tiga edisi berturut-turut (2008 di Terengganu, 2010 di Melaka dan
2011 di Kuala Lumpur), Terengganu hampir pasti muncul juara keseluruhan Sukma
tahun ini.
Tatkala
hanya lapan pingat emas (empat dalam acara gimnastik berirama, dua petanque dan
dua skuasy) menjadi rebutan pada hari terakhir yang akan melabuhkan tirai di
Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, Terengganu dilihat cukup selesa
mendahului barisan pencabar mereka.
Hanya
kontinjen Selangor dianggap sebagai satu-satunya pencabar utama yang mampu mengakhiri
dominasi Terengganu dalam tiga temasya Sukma sebelum ini.
Hakikat itu
diakui Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail kepada Kosmo! semalam.
"Jika
dibuat penilaian setakat ini, saya lihat kontinjen Selangor masih menjadi
pencabar utama kami (Terengganu).
"Mengikut
perkiraan atas kertas, Selangor mungkin mampu menambah kutipan pingat emas pada
hari terakhir Sukma esok (hari ini).
"Walaupun
kontinjen Terengganu berpeluang cerah meraih gelaran juara keseluruhan Sukma
tetapi saya telah mengingatkan setiap atlet untuk terus memburu pingat
emas," jelas Wan Nawawi.
Skuad lumba
basikal Terengganu muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen yang
terkenal dengan jolokan 'Terengganu Hanelang' itu pada Sukma kali ini apabila
membawa pulang 12 pingat emas.
Skuad
olahraga Terengganu sekali lagi menampilkan prestasi mengagumkan apabila
menyambar lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara
tersebut.
"Mungkin
ada yang terlepas pandang bahawa Terengganu juga muncul juara keseluruhan bagi
acara memanah apabila kami meraih sembilan pingat emas.
"Kejayaan
cemerlang dalam ketiga-tiga acara itu (lumba basikal, olahraga dan menanah)
menjadi antara faktor kejayaan kontinjen Terengganu muncul pendahulu
keseluruhan setakat ini," katanya.
Menurut Wan
Nawawi, beliau berasa gembira dan berpuas hati apabila kontinjen Terengganu
telah melepasi sasaran pingat emas pada Sukma kali ini.
"Sebelum
hadir ke sini (Kuantan), kami menetapkan sasaran 47 pingat emas tetapi setakat
hari ini (semalam) kami telah melepasi 50 emas.
"Saya
bersyukur kerana sasaran awal kami telah tercapai. Dalam keadaan kami tidak
berjaya meraih pingat dalam acara akuatik, acara kenu pula tidak
dipertandingkan, kami masih mampu melepasi sasaran 47 emas," jelasnya.
Setakat
pukul 10.30 malam tadi, kontinjen Terengganu selesa mengungguli carta pungutan
pingat dengan merekodkan 61 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.
Selangor
yang muncul juara Sukma tujuh kali, mengekori rapat di belakang Terengganu
apabila mengumpul keseluruhan 47 pingat emas, 53 perak dan 57 gangsa.
Kontinjen
tuan rumah, Pahang berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik apabila
mengutip 44 pingat emas, 37 perak dan 37 gangsa.
Sebagai
rekod, Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Sukma buat
kali pertama pada edisi 2008 yang menyaksikan mereka meraih 61 pingat emas, 39
perak dan 47 gangsa.
Dua tahun
kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila
memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.
Tahun lalu,
Terengganu melakar hatrik dengan mengungguli temasya Sukma buat kali ketiga
berturut-turut selepas membawa pulang 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.
No comments:
Post a Comment