expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, 19 July 2012

TRW lwn QPR: 5,000 bakal gegar Stadium Shah Alam esok


















TRW lwn QPR: 5,000 bakal gegar Stadium Shah Alam esok


SERAMAI 5,000 penyokong setia The Red Warriors bakal menggegarkan Stadium Shah Alam esok bagi memberikan sokongan sempena aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Queen Park Rangers (QPR).


Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md. Noor berkata, rombongan yang melibatkan 100 bas itu dijangka akan bertolak ke sana pada pagi Jumaat.


“Kehadiran penyokong di sana, diharap dapat  memberikan semangat kepada The Red Warriors yang akan beraksi menentang salah sebuah pasukan yang terkemuka di Eropah itu,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penajaan Jersi Sempena Cabaran Sepakan Penalti Bagi Merebut Piala Khas, yang disumbangkan oleh Kumpulan Sentosa.


Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Urusannya Datuk Razali Daud.


Menurutnya, rombongan dari Kota Bharu itu dijangka akan bergabung dengan beberapa kelab penyokong The Red Warriors di negara ini iaitu dari Paka, Terengganu, KLIA, Kuala Lumpur, Jerantut, Pahang dan Lembah Kelang bagi memberikan sokongan kepada pasukan Kelantan.


Ismail berkata, ini adalah peluang terbaik kepada penyokong untuk hadir sama pada perlawanan bersejarah itu, dan yakin The Red Warriors akan memberikan persembahan terbaik bagi tidak menghampakan penyokong yang hadir.


Dalam perkembangan sama, Ismail memberitahu pasukan QPR dijangka tiba di Kota Bharu kira-kira jam 1.30 petang hari ini (esok), dengan menaiki pesawat khas dan akan diarak oleh 60 motosikal berkuasa tinggi menuju ke Hotel Grand River View.


“Sekitar jam 3 petang barisan pemain QPR akan beramah mesra dengan peminat di lobi hotel berkenaan dan pada masa yang sama, peminat tempatan juga boleh mendapatkan barangan mechandise kelab tersebut yang dijual di gerai Air Asia.


“Manakala pada jam 5 petang pula pemain QPR dan Kelantan akan berada di Stadium Sultan Muhammad IV bagi menjalani sesi latihan tertutup,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua pasukan juga akan menghadapi pertandingan Cabaran Sepakan Penalti dan di Kota Bharu, peminat boleh menyaksikan siapa yang lebih hebat antara mereka.


Ismail berkata, aksi menghiburkan itu juga turut disertakan dengan pemberian 80 bola percuma kepada peminat yang hadir di stadium.


“Jadi kepada peminat diharap dapat hadir beramai-ramai dengan mendapatkan tiket bernilai RM10 dan bagi mereka yang sudah mempunyai tiket perlawanan di Shah Alam, masuk adalah percuma,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com