BEBERAPA anggota polis memeriksa
bangkai kereta yang membawa Ildus selepas ia hangus akibat letupan bom di
Kazan, Rusia semalam.
MOSCOW -
Seorang ulama wilayah Tatarstan, Rusia mati ditembak manakala seorang lagi
ulama cedera dalam satu letupan bom kereta di Kazan, wilayah Tatarstan, kata
beberapa penyiasat semalam.
Beberapa
pemimpin tempatan menyatakan, kedua-dua serangan tersebut mempunyai kaitan
dengan kritikan mereka terhadap golongan radikal Islam.
Jawatankuasa
Siasatan Rusia memberitahu, Timbalan Mufti Tatarstan, Valiulla Yakupov ditembak
mati ketika beliau meninggalkan rumahnya di Kazan semalam.
Menurut
jawatankuasa itu, Ketua Mufti, Ildus Faizov cedera di kaki selepas bom pada
keretanya meletup di pusat bandar tersebut.
Kedua-dua
ulama berkenaan merupakan penentang pengikut fahaman Salafi atau Wahabi.
Jurucakap
Jawatankuasa Siasatan, Vladimir Markin memberitahu beberapa agensi berita Rusia
bahawa agensinya sedang menyiasat aktiviti kedua-dua ulama itu sebagai punca
mereka diserang.
Berusia 49
tahun, Ildus menjadi Ketua Mufti Tatarstan pada tahun 2011 dan memulakan
operasi membanteras golongan radikal Islam dengan memecat pendakwah Wahabi dan
mengharamkan buku agama dari Arab Saudi.
Beliau turut
dikritik media di Tatarstan kerana mengaut keuntungan daripada pakej
mengerjakan haji anjurannya selain cuba mengawal sebuah masjid yang dikategori
sebagai antara tertua dan terbesar di Kazan. - AP
No comments:
Post a Comment