KEADAAN terowong yang dirakam sejurus
selepas ia dilanda banjir.
LONDON:
‘Kesibukan’ polis menyebabkan dua mayat mangsa banjir lumpur terbiar di bawah
selut selama 10 hari lapor media semalam.
Sebelum ini,
pasukan penyelamat menutup sebuah terowong yang dilanda banjir lumpur tanpa
menyedari Rosemary Snell dan pasangannya terperangkap dalam kereta di situ.
Ahli majlis tempatan, Ron Bond, berkata dia sangat berang kerana mayat Rosemary, 67, dan lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai Mike terbiar dalam lumpur di Terowong Beaminster Dorset begitu lama.
Namun,
pegawai polis Dorset, James Vaughan, berkata pasangan terbabit dipercayai mati
‘serta-merta’ disebabkan beban berat lumpur berkenaan. Bekas pekerja sosial dan
pemandu pelancong berdaftar, Rosemary baru saja menjalin hubungan dengan Mike,
70-an, selepas menetap di kawasan kampung di Misterton, Somerset.
Pasangan itu dilihat menaiki kereta Skoda Fabia perak pada petang 7 Julai lalu.
KEADAAN kereta Rosemary yang remuk
selepas dikeluarkan dari tempat kejadian.
Saksi, Ivor
Herring, 66, berkata dia melihat Rosemary ada di kerusi penumpang depan
kira-kira jam 4 petang dan melambai kepadanya. “Itulah kali terakhir saya
melihat dia,” katanya. Pasangan itu dipercayai dalam perjalanan ke Beaminster.
Pada
malamnya, mereka dalam perjalanan pulang ke Misterton dalam hujan lebat apabila
runtuhan tanah, lumpur dan pokok meranapkan kereta mereka ketika keluar dari
terowong. Anggota penyelamat dikejarkan ke situ selepas dimalumkan orang awam,
tetapi mereka pulang selepas alat pengesan haba digunakan gagal mengesan
sebarang pergerakan di bawah runtuhan.
Laluan itu kemudian ditutup kepada lalu lintas dan ia terbiar tidak dibersihkan untuk beberapa lama kerana pasukan penyelamat sibuk menguruskan banyak insiden lain di kawasan berkenaan.
Hanya
selepas Rosemary tidak muncul dalam temu janji makan tengah hari dengan
jirannya dua hari kemudian, barulah kehilangan wanita itu disedari. Polis
segera dimaklumkan dan selepas disiasat, pasangan itu didapati menggunakan kad
kredit mereka di Beaminster pada 7 Julai.
Akhirnya, pelbagai maklumat susulan yang dikumpul membawa polis ke terowong berkenaan.
Apabila diperiksa dengan teliti, didapati kereta dinaiki Rosemary dan Mike tertimbus kira-kira dua meter di bawah lumpur.
Beban berat runtuhan itu menyebabkan kereta mereka remuk sama sekali.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, mereka memang “sibuk” apabila orang ramai menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan. “Ada 150 amaran banjir pada ketika itu dan penghuni 180 rumah dipindahkan, selain 400 insiden lain yang dimaklumkan kepada polis,” katanya. - DM
No comments:
Post a Comment