CALIFORNIA
18 Julai - Polis Antarabangsa (Interpol) semalam mengumumkan satu inisiatif
untuk menghapuskan jenayah perdagangan barangan palsu menerusi penggunaan
aplikasi pengimbas yang dibangunkan bersama oleh syarikat carian Google.
Interpol
melalui Badan Pendaftaran Globalnya (IGR) membuat pengumuman itu semasa sidang
akhbar di ibu pejabat Google di utara Los Angeles, dengan sasaran untuk
mengesan produk palsu melalui aplikasi keselamatan tersebut.
Setiausaha
Agung Interpol, Ronald Noble berkata, buat masa ini, pelanggan tidak dapat
mengenal pasti ketulenan barangan tertentu terutamanya melibatkan produk
farmaseutikal, tembakau dan barangan rumah.
"Aplikasi
ini akan membantu pengguna, penguatkuasa atau syarikat perniagaan mengimbas kod
dan memastikan sesuatu produk itu tulen atau palsu.
"Produk
palsu yang diimbas akan menunjukkan warna merah manakala produk tulen berwarna
hijau," katanya.
Firma Google
mencipta aplikasi itu mengikut konsep yang digunakan dalam sistem operasi Android,
namun Interpol merancang untuk menggunakan sistem terbabit dalam Apple,
Blackberry dan Microsof.
Satu
daripada firma yang menggunakan sistem baru tersebut, PharmaSecure, meletakkan
kod keselamatan pada lebih sejuta paket produk farmaseutikal yang dihasilkan di
India pada setiap hari.
Pengasas
bersama firma PharmaSecure, Nathan Sigworth berkata, pihaknya berbangga dapat
bekerjasama dengan Interpol dalam membantu pelanggan di seluruh dunia untuk
mengesan produk perubatan mereka melalui usaha yang dijalankan IGR itu.
Interpol
turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat tembakau British American Tobacco,
Imperial Tobacco Group, Japan Tobacco International dan Philip Morris
International untuk memastikan rantaian bekalan sistem kawalan produk mereka
diakses melalui IGR. - AFP
No comments:
Post a Comment