Ekstrak
teh hijau dikatakan boleh mengubati penyakit barah kulit. - Foto Agensi
Kajian dapati pati minuman mampu hapus ketumbuhan
Edinburgh: Kalangan saintis berharap sejenis ubat berasaskan teh hijau yang berkesan untuk mencegah barah kulit akan dapat dihasilkan selepas kajian mendapati pekatan minuman itu boleh menghapuskan hampir separuh daripada ketumbuhan penyakit berkenaan.
Pensyarah kanan Institut Farmasi dan Sains Bioperubatan Strathclyde, Dr
Christine Dufes berkata satu kajian makmal yang dijalankan sepasukan penyelidik
di Universiti of Strathclyde, mendapati 40 peratus tumor barah kulit dapat
dihapuskan menggunakan bahan dalam teh hijau dikenali epigallocatechin gallate.
Beliau berkata, sejak sekian lama, teh hijau dipercayai mempunyai bahan mencegah barah dan kajian ke atas pekatannya pernah dibuat sebelum ini. Bagaimanapun ini kali pertama penyelidik berjaya menggunakannya untuk mengecutkan tumor barah kulit.
Sebelum ini gagal
Beberapa percubaan sebelum ini menemui kegagalan kerana saintis menggunakan kaedah titisan dapat tidak memperoleh cukup pekatan untuk menghapuskan tumor terbabit.
“Berikutan itu pasukan penyelidik mewujudkan kaedah menyasarkan protin tubuh yang membawa molekul zat besi ke bahagian kulit yang dijangkiti barah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan jurnal Nanomedicine.
Beliau berkata ujian makmal yang dijalankan ke atas sejenis barah kulit manusia menunjukkan 40 peratus ketumbuhan hilang selepas rawatan selama sebulan, manakala 30 peratus lagi mengecut.
Kurangkan saiz tumor
Dr Dufes berkata kaedah yang digunakan menunjukkan ekstrak teh hijau mengurangkan saiz kebanyakan tumor setiap hari dan dalam beberapa kes berjaya menghapuskannya.
“Keputusan yang diperoleh amat memberangsangkan dan kami berharap ia akan membuka jalan kepada kaedah rawatan baru barah yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata apabila kaedah titisan digunakan ekstrak teh hijau mengalir ke seluruh tubuh dan apabila sampai kepada tumor ia sudah bercampur dengan bahan kimia lain dan menjadi terlalu cair.
“Dengan menyasarkan sistem penghantaran dalam tubuh, ekstrak itu mengalir terus kepada tumor tanpa menjejjaskan tisu normal yang lain,” katanya. - Agensi