Pages

Friday, 18 January 2013

Membenci kemungkaran bukti dalam hati ada iman





Daripada Abu Mas’ud sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya sebelum ku ia mempunyai penyokong-penyokong daripada umatnya dan sahabat yang berpegang dengan sunnahnya dan mereka taat dengan perintahnya. Kemudian selepas mereka, muncullah beberapa penggantinya yang suka berkata tetapi tidak melakukannya dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan. 


Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya maka dia adalah mukmin. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah mukmin dan sesiapa yang berjuang menentang dengan hatinya maka dia adalah mukmin, tetapi jika semuanya itu tiada maka sama sekali tiada keimanan walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim)


Menentang orang yang menyalahi syarak dengan perbuatan dan perkataan adalah dituntut. Ketiadaan penolakan kemungkaran dengan hati adalah tanda ketiadaan iman. Abdullah ibn Mas'ud berkata: “Binasalah orang yang tidak mengenal yang makruf dan mungkar dengan hatinya.” 


Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah mukmin dan sesiapa yang berjuang menentang dengan hatinya maka dia adalah mukmin, tetapi jika semuanya itu tiada maka sama sekali tiada keimanan walaupun sebesar biji sawi”.


Benci kepada kemungkaran adalah dalil kuat iman dan tidak menghiraukan kemungkaran adalah dalil lemahnya iman. Setiap orang wajib menolak atau menghapuskan kemungkaran mengikut kemampuannya.


Jauhkan diri daripada tergolong dalam golongan orang yang derhaka terhadap Allah dan rasul-Nya. Kewajipan bagi mereka yang beriman dan mengetahui ialah memberi penjelasan kepada orang yang jahil dengan ajaran yang baik.


Setiap orang digalakkan melakukan perkara yang baik dan dilarang melakukan perkara yang merosakkan iman. Reda dengan dosa adalah berdosa dan reda dengan kufur adalah kufur.


Selemah-lemah iman seseorang itu ialah mengatasi kemungkaran hanya dengan berdoa saja dan tidak didapati darjat keimanan seseorang yang lebih lemah daripada itu. 


Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

No comments:

Post a Comment