Pages

Thursday, 28 February 2013

Kiamat kecil




Boleh dikatakan bumi dianggap kapal angkasa yang mengelilingi matahari dengan kelajuan 30 kilometer sesaat. 


Ia terus-menerus berlanggar dengan jirim yang berterbangan di ruang angkasa lepas seperti debu dan batu. 


Jirim dikenali sebagai meteorit dan jika memasuki ruang bumi, ia akan terbakar dan membentuk meteor atau tahi bintang, seperti kejadian di Russia, baru-baru ini.


Ruang angkasa yang dihiasi bintang, bulan dan planet adalah penghias langit anugerah Allah.


Angkasa juga mengandungi berjuta-juta bintang dan objek angkasa lain yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera manusia seperti galaksi, kuasar, pulsar dan lohong hitam (black hole). 


Dalam pada itu, kedatangan berkala ‘batu angkasa’ seperti meteoroid, komet dan asteroid kadang kala menggemparkan.


Ahli astronomi menganggarkan 1,000 hingga 4,000 tahun asteroid yang merentasi orbit bumi, manakala 200 komet boleh dilihat dari bumi secara berkala dalam tempoh beberapa ratus tahun.










Komet yang paling popular ialah Komet Hailey yang mengorbit setiap 76 tahun.


Dalam al-Quran objek serpihan angkasa seperti asteroid, meteor dan komet dinyatakan sebagai ‘bintang yang cahayanya menembus’, manakala meteor pula dijelaskan kegunaannya sebagai alat pelempar syaitan.


Jika ada yang masih ingat, bagaimana peristiwa perlanggaran planet Musytari oleh serpihan komet Shoemaker-Levy 9 pada Julai 1994 dan garis pusat kesan impak itu adalah lebih kurang saiz garis pusat bumi.


Perkataan komet itu berasal daripada bahasa Yunani bermaksud ‘yang berbulu’ namun secara saintifik pula, takrif sebenar komet yang mempunyai kepala dan berekor, adalah jasad beku antara planet yang melepaskan gas dan debu sewaktu mendekati matahari.


Gas dan debu itu membentuk kepala iaitu objek bulat/bujur atau Koma yang terang dan mempunyai dua ekor panjang, iaitu ekor plasma dan ekor debu.


Bahagian Koma itu pula mempunyai nukleus yang mengandungi ais, manakala ekor plasma yang juga dikenali ekor ion selalunya lurus pada arah berlawanan dengan matahari atau searah dengan angin suria.








Ekor debu mengikut arah orbit komet dan ia mengandungi partikel halus serta debu yang ada kalanya melengkung.


Maka, jika dilihat melalui teleskop besar, ia mungkin kelihatan seperti bebola api yang panas dan terang benderang, tetapi hakikatnya, ia adalah bebola ais yang sejuk tetapi cair dan meruap apabila terkena cahaya matahari.


Komet yang mengandungi ais dan debu itu bersifat mudah pecah. Dari segi teori, ia dikatakan berasal dari satu kawasan di luar sistem planet dan suria dikenali awan Oort.


Awan Oort itu adalah tempat berkumpulnya semua komet yang akan keluar menuju ke matahari. Bagaimanapun, komet bukanlah tahi bintang atau meteor.








Manakala meteoroid adalah ketulan batu atau logam yang datang dari kawasan luar angkasa dan jatuh menembusi atmosfera bumi.








Asteroid pula merangkumi bahan serpihan daripada pembentukan sistem suria.


Menurut teori, asteroid pada asalnya adalah planet yang musnah akibat perlanggaran kuat dengan saiz yang berbeza, misalnya Ceres berdiameter kira-kira 1,000 kilometer (km) hingga sekecil saiz batu kerikil.



Setakat ini, sebanyak 16 asteroid dikenal pasti mempunyai diameter 240 km atau lebih besar ditemui di antara orbit bumi hingga orbit Zuhal.



Namun, kebanyakan asteroid ada di kawasan lingkaran utama di antara Marikh dan Musytari yang dinamakan lingkaran asteroid.



Batu antara komet dan asteroid pula dipanggil meteoroid manakala meteor seperti yang dijelaskan adalah hasil percikan api selepas meteoroid jatuh menembusi atmosfera bumi.



Mudahnya, meteor mempunyai jaringan orbitnya yang tersendiri dan lebih dikenali sebagai meteoroid (saiz rentas kurang daripada satu kilometer) dan juga asteroid (apabila membabitkan saiz lebih besar (lebih satu kilometer).



Jika meteoroid itu tidak terbakar keseluruhannya dan jatuh menghentam permukaan bumi, ia dinamakan meteorit.



Hasil kajian terhadap meteorit mendapati, 92.8 peratus mengandungi silika dan 5.7 peratus besi dan nikel, manakala bakinya campuran ketiga-tiga bahan itu.



Fenomena meteor jatuh ke bumi berlaku setiap malam dengan bilangan purata empat bilion meteor, kebanyakannya bersaiz kecil (besar sedikit daripada saiz atom) dan berat terkumpul melebihi beberapa tan metrik.



Satu jumlah yang agak besar dan memeranjatkan namun boleh diabaikan kerana kebanyakan menjadi debu dan jika ia berjaya merentasi halangan sesaran serta suhu yang amat tinggi, saiz batu terbabit tidak berbahaya dan amat kecil jika dibandingkan dengan berat keseluruhan bumi pada 6,600,000,000,000,000,000,000 tan metrik.



Sebanyak 90 peratus daripada meteor di bumi berasal daripada meteoroid yang berlegar di antara planet Marikh dan Musytari.









Apa yang menarik mengenai fenomena kejatuhan meteoroid adalah pada keindahan cahaya yang dipancarkan seperti yang dirakam pelbagai kamera ketika meteor melintas langit Rusia, baru-baru ini.


Cahaya berkenaan terhasil apabila meteoroid berlanggar dengan molekul udara membuatkan kehilangan elektron pada jumlah yang banyak dan pertemuan antara atom yang tertinggal dengan elektron dari udara membuatkan cahaya terpancar pada warna tertentu.


Di udara apabila kelihatan meteoroid berwarna jingga kekuningan, elemen natrium dipercayai hadir dan jika cahaya yang terpancar berwarna kuning, kemungkinan besar elemen pada meteor itu adalah besi.


Bagi cahaya biru kehijauan, elemen magnesium, ungu menandakan kehadiran kalsium, manakala cahaya merah menandakan kehadiran elemen silikon.


Terdapat tiga meteor termasuk batu, besi dan batu berbesi. Meteor jenis berbatu pula terbahagi kepada jenis ‘chondrites’ beku dan chondrites cair.


Chondrites dipercayai terbentuk pada satu masa yang sama dan dari bahan sama seperti planet berbatu di bahagian tengah sistem suria.


Secara saintifik, Chondrites adalah campur-aduk daripada pelbagai bahan; kebanyakan mengandungi bintik campuran logam besi dan tembaga putih yang berkilat, serta tompok berwarna pucat CALs (Calcium and Aluminium-rich Inclusions) yang mengandungi sedikit kalsium dan aluminium.


Pengkajian chondrites boleh menjelaskan mengenai bagaimana planet tercipta dan bahan asal yang membentuk planet dalam sistem suria.

4 comments:

  1. nice info...tapi konfius dgn terms2 dia tu dekat2 je bunyi nye...haha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks..lepas nie tak konfius lg dah kan..:-)

      Delete
  2. huhu..kena banca banyak kali baru bole faham..maaf laa..cheqkaq bab2 kaji alam ni memang "slow" sikit

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..tak pe cheq kaq..sebagai pengetahuan je..:-)

      Delete