expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 26 May 2012

Kelantan alih fokus ke saingan Liga Super




KOTA BHARU - Masih segar dengan kejayaan merangkul Piala FA dan mara ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan kini mengalih tumpuan sepenuhnya bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super menentang Johor FC, hari ini.


Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pasukannya berada dalam keadaan terbaik untuk menentang Johor FC malam ini dengan misi memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Lions XII yang kini mendahului dengan tujuh mata.


Katanya, biarpun kurang enam perlawanan berbanding Lions XII, Red Warriors tidak boleh tercicir sebarang mata dalam baki semua perlawanan tersebut. 


"Di atas kertas tugas kita memang nampak mudah jika prestasi semasa Johor FC diambil kira. Namun saya tidak melihat itu sebagai kelebihan sebaliknya kami perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu menang.


"Pada aksi malam esok kami akan menurunkan semula Nor Shahrul Idlan Talaha. Bagaimanapun gandingannya Muhammad Ghaddar tidak akan diturunkan kerana pemain itu sedang beraksi untuk pasukan negaranya, Lubnan manakala Zairul Fitree Ishak masih mengalami kecederaan ," katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh jurulatih Bojan Hodak setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat. 


Katanya, Bojan sedang mengenalpasti beberapa kelemahan terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima padah ketika menang tipis 3-2 ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC.


"Perlawanan menentang Terengganu memberi iktibar kepada kita kerana terlalu leka kita nyaris dihukum. Atas sebab itu kita akan berusaha untuk membaiki kelemahan mental pemain. 


"Saya berharap pemain tidak ambil mudah selepas mendahului dengan jaringan yang besar dan memberi ruang kepada lawan untuk merapatkan jurang," katanya. 


Sementara itu, Azman berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang mengenal pasti seorang lagi pemain import untuk mengharungi Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat, kelmarin.


Tambahnya, KAFA akan mendaftarkan pemain import bagi menggantikan Nwoha dalam masa terdekat bagi menghadapi saingan suku akhir pada September ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com