ATAS nama cinta, hati ini tak mungkin terbagi, sampai nanti
bila aku mati, cinta ini hanya untuk engkau.
Atas nama cinta, ku relakan jalanku merana, asal engkau
akhirnya denganku, ku bersumpah atas nama cinta".
Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Lirik lagu "atas nama
cinta" nyanyian penyanyi Rossa di atas adalah satu contoh bagaimana cinta
ditafsirkan dalam bentuk sumpah setia dan pengorbanan.
Benarkah begitu? Cinta adalah pertautan emosi yang berlaku di
dalam satu hubungan interpersonal lelaki dan perempuan.
Jatuh cinta adalah normal dan ia sebahagian daripada
kehidupan. Bercinta tidak salah asalkan tidak menyimpang daripada landasan
agama, moral dan tatasusila budaya.
Dalam proses mencari cinta manusia sering bertemu dengan
pelbagai pilihan. Pelbagai pepatah dan ungkapan tercipta.
Ada yang kata mencari cinta bagaikan membeli kasut. Pada
mulanya mencari kasut yang cantik dipandang tetapi akhirnya memilih kasut yang
selesa dipakai.
Hakikatnya, apa yang dicari tidak lebih daripada satu
hubungan yang bahagia.
Ia menjadi asas kepada kesejahteraan emosi. Cinta juga
berevolusi untuk matang. Mari lihat bagaimana proses ini berlaku.
Pada peringkat awal, pasangan bercinta akan mengalami
perasaan yang sangat indah dan berbunga-bunga. Semua kelihatan begitu sempurna
tanpa sebarang cacat-cela.
Namun begitu, apabila hubungan tersebut mencapai tempoh
tertentu, mereka mula sedar tentang wujudnya perbezaan pendapat di antara
mereka.
Bagaimanapun, mereka menafikan kewujudan perbezaan tersebut.
Ada pihak yang mengalah walaupun dengan perasaan tidak puas hati. Mereka terus
hanyut dibuai asmara dengan harapan keadaan ini akan kekal selamanya. Masa yang berlalu mendedahkan lebih banyak ketidakserasian.
Mereka kekal dengan cara yang sama, malah tidak pernah
menyuarakan hasrat untuk berbincang. Ini disangka untuk mengelakkan perbalahan.
Akibatnya tiada sebarang jalan penyelesaian diperolehi.
Perasaan tidak puas hati akhirnya memuncak dan hubungan tersebut mula renggang
dengan sendirinya. Tiada lagi keindahan, yang tinggal adalah "jiwa
kacau" dan "merana".
Menilai makna cinta hanya ada dua pilihan. Sama ada membiarkan
ia berakhir dengan perpisahan atau memulihkan semula perhubungan.
Untuk itu mereka perlu tahu apakah makna cinta sebenar dan
menilai sama ada elemen tersebut pernah hadir atau tidak dalam sejarah
percintaan mereka.
Elemen paling penting adalah perasaan cinta itu sendiri yang
perlu wujud antara satu sama lain. Cinta mungkin tidak pernah wujud sekiranya
anda selalu merasa tidak selesa ketika bersama.
Pasangan yang bercinta perlu hormat menghormati antara satu
sama lain. Mereka perlu sentiasa menutup keburukan pasangan dan tidak
merendah-rendahkan maruah diri antara satu sama lain.
Pasangan bercinta perlu saling memberi dan menerima.
Pemberian tidak semestinya dalam bentuk hadiah atau wang ringgit sahaja.
Ia semudah membiarkan pasangan membuat keputusan dalam
perkara seharian seperti memilih restoran makan malam atau menentukan tempat
percutian.
Cinta memerlukan keserasian pemikiran, personaliti dan
seksual. Pasangan perlu mampu meluahkan perasaan secara terbuka di antara satu
sama lain. Malah adakalanya perlu tidak merasa malu untuk menangis.
Cinta memerlukan kepercayaan. Kepercayaan biasanya terhakis
apabila berlakunya kecurangan.
Ini akan menyebabkan pasangan lebih berhati-hati dan
kadangkala menjadi cemburu buta. Percayalah, apabila luka tersebut semakin
sembuh, kepercayaan akan kembali.
Cinta juga memerlukan kemaafan dan keikhlasan. Setiap manusia
pernah tersilap tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh insaf dan berubah.
Pasangan yang tidak mampu memaafkan akan menyimpan dendam dan
mudah mengungkit kisah lama dalam pertikaian kecil sekalipun. Jangan khianati kemaafan dan peluang kedua yang diberi.
Cinta memerlukan kesetiaan dan pengorbanan. Ia perlu
dibuktikan untuk membangkitkan perasaan dihargai.
Berkorban tidak bermaksud menyerahkan semua yang kekasih
minta. Ingat, cinta sejati tidak merosakkan diri atau menghabiskan wang
ringgit.
Cinta tidak membenarkan sebarang bentuk penderaan dan ketagihan.
Ini kerana tiada gunanya bercinta sekiranya anda menderita ketiadaan wang atau
ditinggal keseorangan oleh pasangan yang ketagihan judi atau dadah.
Buatlah pertimbangan dengan bijak. Perbetulkan makna cinta
anda dan jangan sampai tersalah langkah.
No comments:
Post a Comment