TERLINDUNG di sebalik gunung ganang dan tebing granit yang berceranggah di kawasan tanah tinggi di kepulauan Sulawesi Selatan, suku Toraja hidup aman damai dikelilingi tanah lembah dengan padi teres yang menghijau serta ladang kopi yang subur.
Berbanding dengan suku-suku lain di Indonesia, tidak banyak
yang diketahui mengenai kehidupan suku Toraja. Mereka dikatakan mengamalkan
kepercayaan animisme dan hidup terasing daripada masyarakat luar.
Toraja dikatakan berasal daripada bahasa Bugis iaitu Riaja
yang bermaksud orang yang berdiam di negeri atas. Penjajah Belanda menggelar
Toraja sempena nama wilayah penempatan utama mereka Tana Toraja.
Hari ini, kebanyakan mereka telah memeluk agama Kristian
dengan pengaruh kepercayaan Hindu Dharma yang kuat dikenali sebagai aluk to
dolo. Biarpun dipalit kehidupan moden, namun suku itu tetap berpegang teguh
dengan kepercayaan, ritual dan tradisi lama sehingga kini.
Keterujaan untuk mengenali sisi kaum yang dianggap unik dan
penuh misteri itu terutama kisah ‘mayat berjalan’ membawa penulis ke wilayah
berkenaan.
Secara kebetulan, pengembaraan itu dilakukan sejurus selepas
penulis bersama rakan-rakan dari Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM)
menamatkan pendakian di Gunung Rante Mario, puncak tertinggi di kepulauan
Sulawesi.
Perjalanan kami bermula dari Baraka, lokasi terakhir
pendakian menuju ke Tana Toraja dengan menaiki tiga buah kereta sewa.
Perjalanan sejauh 78 kilometer itu sedikit perlahan memandangkan keadaan jalan
raya yang agak kecil dan sempit.
HANYA golongan kaya yang boleh
meletakkan patung mirip si mati di ruang khas di dinding perkuburan gua batu
kapur di Londa, Sulawesi.
Hotel Indra Toraja menjadi destinasi penginapan kami. Selepas
mendapat bilik, masing-masing bergegas untuk mandi dan berehat, maklumlah
pendakian selama lima hari sebelum itu sememangnya memenatkan.
Keesokan harinya, barulah kami berpeluang melihat Tana Toraja
dengan lebih dekat melalui bantuan dua orang pemuda tempatan, Maliq dan Arma.
Menurut Maliq, sebelum ini nama Tana Toraja sememangnya agak
asing dalam peta pelancongan di Indonesia.
“Hanya selepas tahun 1980-an apabila pemerintah menjadikan
wilayah ini sebagai destinasi pelancongan kedua selepas Bali, barulah ia mula
dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
“Selain mahu melihat keindahan landskap semula jadinya, ada
juga pelancong yang datang untuk melihat keunikan dan budaya masyarakat suku
Toraja,” katanya.
Tambah Maliq, terdapat kepercayaan menyatakan suku Toraja
berasal dari syurga yang diturunkan ke bumi.
“Bagi mengekalkan kesejahteraan masyarakat dan buminya agar
sentiasa subur, terdapat ritual khas bagi meraikan alam kehidupan dan
kematian,” jelasnya.
Salah satu ritual yang dianggap unik dan penuh misteri yang
masih menjadi amalan suku Toraja ialah ritual kematian. Dianggap sebagai salah
satu peristiwa sosial penting, ia lazim dihadiri ratusan orang dan berlangsung
selama beberapa hari.
Secara kebetulan, kami berpeluang melihat ritual itu dengan
lebih dekat ketika dalam perjalanan. Biarpun tidak saling mengenali, kehadiran
kami disambut dengan tangan terbuka oleh tuan rumah.
Kami sempat menyaksikan bagaimana mereka mengorbankan babi
dan kerbau sebagai acara korban untuk si mati. Mata seakan-akan terpaku
seketika saat parang tajam menusuk jantung si korban. Walaupun agak mengerikan,
namun pengalaman itu ternyata amat bermakna dan istimewa.
Seterusnya, kami dibawa ke Rante Karassik untuk melihat
simbuang batu atau batu megalitik. Bermaksud batu yang ditarik dalam bahasa
tempatan, batu-batu di situ dipercayai telah berusia ratusan tahun.
Kami diberitahu, setiap batu yang ditanam adalah bagi
menghormati ketua adat dan keluarga bangsawan yang telah mati.
“Hanya golongan berada yang mengorbankan sekurang-kurangnya
24 ekor kerbau layak ‘berada’ di sini,” jelas Maliq yang memberitahu, ritual
itu masih diamalkan dalam kalangan suku Buntu Pune.
Simbolik kerbau
PETA menunjukkan kedudukan Tana
Toraja di Kepulauan Sulawesi.
Pengembaraan kami diteruskan ke Kate Kesu iaitu perkampungan
adat yang terletak empat kilometer dari Rantepao, pusat pentadbiran di Tana
Toraja. Ia mengandungi beberapa rumah adat (tongkonan), tanah perkuburan lama
di dalam gua dan makam-makam baharu.
Penulis agak kagum melihat reka bentuk tongkonan yang dihiasi
ukiran dan motif berwarna merah, hitam, dan kuning. Ia terbahagi kepada dua
bahagian utama iaitu bilik tidur dan dapur.
Tongkonan yang berasal daripada perkataan tongkon bererti
duduk bersama-sama. Ia juga digunakan sebagai tempat menyimpan mayat.
Ketika berada di situ, terdapat satu persiapan ritual
kematian sedang dilakukan secara besar-besaran. Kami difahamkan si mati berasal
daripada golongan berada.
Kerbau merupakan ikon dalam ritual itu. Tanduk-tanduk kerbau
yang disusun sebaris di hadapan pintu tongkonan secara tidak langsung
menunjukkan kekayaan pemiliknya.
“Lebih banyak tanduk digantung lebih besar upacara yang
dilakukan. Paling sukar dicari ialah kerbau berwarna putih (albino). Harganya
seekor sahaja mampu mencecah puluhan ribu ringgit,” jelas Maliq.
Selepas meninjau kawasan sekeliling, kami dibawa menuju ke
gua perkuburan lama yang terletak berhampiran. Pada bahagian dinding gua batu
ini terdapat banyak keranda kayu (erong) yang digantung. Ada juga erong yang
disumbat ke dalam rekahan atau sengaja dipahat pada dinding gua.
Oleh kerana kebanyakan keranda di situ telah berusia ratusan
tahun, ada di antaranya telah rosak dan pecah. Tulang-tulang rangka yang jatuh,
didapati berlonggok dan terbiar begitu sahaja.
Kami diberitahu, suku Toraja amat menghormati elemen tanah
kerana bagi mereka tanah merupakan sumber rezeki. Disebabkan itu, mereka rela
menjadikan gua dan tebing-tebing batu sebagai tanah perkuburan.
Semakin tinggi letaknya erong pada dinding gua semakin tinggi
pula status sosialnya di mata masyarakat .
Seterusnya, pengembaraan kami diteruskan ke Londa yang
terletak di Sandan Uai untuk melihat tanah perkuburan batu kapur. Di situ,
keranda disusun dan diletakkan mengikut garis keluarga yang mana pada satu sisi
lain, keranda sekadar dibiarkan terbuka menghadap pemandangan luar bukit.
Dari jauh kami dapat melihat tau tau atau patung-patung
manusia yang diukir mirip si mati. Bagaimanapun, hanya golongan berada yang
layak meletakkan patung di situ, malah ruang itu juga menjadi tempat
penyimpanan harta si mati sebagai tanda status dan lambang kekayaannya.
SEMAKIN jauh perjalanan ke dalam gua
semakin banyak keranda dan tengkorak yang boleh ditemui di Londa.
Perasaan ingin tahu yang membuak-buak membuatkan perasaan
gerun lenyap begitu saja. Kami semua seakan asyik dalam dunia mistik yang
begitu menakjubkan.
Tanpa disedari kami telah jauh melangkah ke dalam gua.
Rupa-rupanya masih banyak lagi keranda dan rangka manusia yang boleh ditemui di
dalamnya termasuk yang baru disemadikan, iaitu kira-kira tiga bulan lalu. Kerandanya
yang masih cantik dan berkeadaan baik terletak di bahagian atas gua tersebut.
Di ruang itu juga, penulis akhirnya mendapat jawapan yang
dicari-cari mengenai kisah mayat berjalan.
Menurut Maliq, ritual kematian disambut secara besar-besaran
bertujuan untuk menghibur dan mengiringi si mati menuju ke ‘alam puya’ atau
dunia akhirat.
Katanya, kos yang tinggi menyebabkan keluarga si mati
terpaksa menabung dan mengumpul sebanyak mungkin duit bagi membiayai upacara
ritual itu.
Disebabkan itu, si mati akan diawet dan disimpan di dalam
rumah sehingga sumber kewangan mencukupi.
“Jadi untuk memudahkan mereka semasa melakukan ritual itu,
mayat akan dipuja dengan mantera agar berjalan sendiri sehingga ke dalam gua
sebelum disemadikan terus di sana.
“Itu cerita ratusan tahun dahulu, kini ritual memuja mayat
itu tidak lagi dipraktikkan oleh generasi muda pada hari ini,” ceritanya.
Apa yang pasti, selepas beberapa hari meneroka bumi Tana
Toraja, ternyata dunia mistiknya terlalu indah dan menarik untuk didalami.
Bagi masyarakat Toraja, alam kematian bukan satu alam yang
harus digeruni sebaliknya diraikan secara besar-besaran.
No comments:
Post a Comment