ROKET Long March II-F yang membawa
kapal angkasa Shenzhou-9 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan
semalam.
JIUQUAN - China melancarkan misi angkasa lepas paling gemilang yang
membawa angkasawan wanita pertama bersama dua kru lelaki dalam percubaan untuk
berlabuh di sebuah modul makmal angkasa lepas di orbit Bumi.
Kapal angkasa Shenzhou 9 berlepas mengikut jadual pada pukul
6.37 petang dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di tepi Gurun Gobi, di sini
semalam.
Kapal angkasa berkenaan membawa angkasawan wanita Liu Yang,
33 bersama angkasawan veteran, Jing Haipeng, 45 dan kru baharu berusia 43
tahun, Liu Wang.
Mereka dijangka berlabuh di makmal angkasa lepas Tiangong 1
esok.
Makmal angkasa lepas prototaip itu yang dilancarkan pada
tahun lalu, kini berada di orbit pada jarak 343 kilometer dari Bumi.
Ketiga-tiga angkasawan berkenaan akan menguji sistem sokongan
hayat Tiangong 1 selama seminggu sebelum kembali ke Bumi.
Tiangong 1 akan diganti dengan sebuah stesen angkasa lepas
tetap lebih besar seberat 60 tan yang dijangka siap sekitar tahun 2020.
China berharap dapat menyertai Amerika Syarikat dan Rusia
sebagai dua negara dunia yang menyelenggara stesen angkasa lepas sendiri di
orbit. - Agensi
No comments:
Post a Comment