RAMAI beranggapan mereka yang
menghidap autisme adalah genius, hakikatnya ia adalah kes-kes terpencil.
KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita
mendapati sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri.
Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak
lain. Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk. Mereka juga
mempunyai masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu
mereka sudah boleh bercakap.
Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan
bukannya kepada si penutur.
Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini
jangan mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini
menghidap autisme.
Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan
pada anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan
suka menyusun mainannya.
Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan
tidak menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak
lain.
Ada ketikanya, mereka ini sangat hiperaktif dan cenderung
bermain dengan benda yang tidak dianggap barang mainan seperti barang-barang di
dapur dan sebagainya.
Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom
autisme ini sepatutnya diperhatikan. Adakalanya tanpa rawatan awal, sindrom ini
akan dibawa sehingga dewasa yang menyebabkan tindakan yang diambil pada waktu
itu mungkin sudah terlambat.
Inilah hakikat yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila
kanak-kanak ini membesar. Sehingga kini, punca autisme masih samar-samar.
Bagaimanapun, autisme bukanlah penyakit yang berjangkit.
Walaupun belum ada penawar, tetapi pengetahuan ibu bapa mampu memberikan mereka
harapan. Mereka patut didedahkan dengan spesifikasi keupayaan tertentu.
Secara umumnya, autisme wujud dalam semua budaya. Di
Malaysia, pada tahun 2000 dianggarkan terdapat 47,000 rakyat Malaysia yang
menghidap austisme. Di United Kingdom, dianggarkan setengah juta orang
mengalami autisme.
Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai
anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan.
Keupayaan intelektual
Asalkan anak-anak ini ada keupayaan intelektual, mereka boleh
menjadi manusia yang berjaya. Keupayaan mereka sangat spesifik, selalunya dalam
bidang sains. Sebab itulah, ibu bapa perlu mengesan simptom ini lebih awal,
agar kanak-kanak ini dapat dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah
laku dan keupayaan mereka.
Kalau mereka dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal,
ia akan menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran
seperti anak-anak lain.
Selalu terjadi, ada ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat
bahawa anak mereka sebenarnya menghidap autisme. Kesannya, mereka terus
menghantar anak-anak ini ke sekolah biasa. Hasilnya, ia hanya merosakkan masa
depan mereka.
Autisme tidak ada kena
mengena dengan keturunan, budaya atau sebab yang lain.
Dalam mata pelajaran Matematik, kajian menunjukkan keupayaan
mereka umumnya pada tahap bawah purata. Bagi mereka yang hanya mempunyai
simptom autisme sederhana, mereka berupaya menguasai matematik. Bagaimanapun,
mereka sukar dalam banyak subjek lain. Mereka juga sukar dalam hal temu duga.
Bagaimanapun, ada kes-kes terpencil. Kumpulan ini dikenali
sebagai mathematic gifted. Ia seperti watak Raymond yang dilakonkan oleh Dustin
Hoffman dalam filem Rain Man. Sungguhpun begitu, ia kes yang sangat jarang.
Ia sebenarnya adalah salah tanggapan yang sering berlaku
dalam masyarakat. Orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah
manusia yang genius. Harus diingat, ia hanya kes terpencil.
Hakikat yang perlu diketahui, majoriti daripada anak-anak ini
kalau tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu cenderung untuk memerhatikan
anak-anak mereka. Kalau dilihat anak-anak kita seperti dalam dunianya sendiri,
gagal berkomunikasi dan mempunyai tingkah laku di luar kelakuan normal
kanak-kanak, adalah lebih baik mereka dibawa berjumpa pakar.
Jangan anggap ia hal normal atau cuba menolak hakikat bahawa
anak-anak kita sedang dilanda masalah.
Boleh dirawat
Walaupun tidak ada ubat khusus, sebenarnya autisme boleh
dirawat dengan pendidikan dan terapi khas. Asalkan kita menyedari hal ini
terlebih awal dan ia dilakukan ketika mereka masih di peringkat kanak-anak.
Sebenarnya, tidak ada salahnya mempunyai anak-anak autisme,
tetapi yang salahnya ialah apabila kita melihat semua perkara sebagai normal
kerana kononnya hanya anak orang lain menghidap autisme dan bukan anak kita.
Jangan anggap kerana tidak ada keturunan yang mengalami
autisme atau kerana kita mempunyai pendidikan yang baik, kita tidak mungkin
mempunyai anak autisme.
Autisme tidak ada kena mengena dengan keturunan, budaya atau
sebab yang lain. Tidak ada siapa yang tahu puncanya. Sekiranya kita diuji
dengan anak-anak autisme, maka menjadi tugas kita untuk memastikan masa depan
mereka terus terbela.
No comments:
Post a Comment