Syeikh Yasin al-Fadani (duduk tengah)
bersama warga Madrasah Dar al-Ulum al-Diniyyah, Mekah tahun 1375 Hijrah sekitar
tahun 1955 Masihi.
AL-'ALLAMAH al-Mutafannin Musnid al-'Asr 'Alam al-Din Abu
al-Faidh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Indunisi al-Makki
al-Syafii dilahirkan di Mekah pada 1335 Hijrah bersamaan 1916 Masihi. Beliau
membesar di sana di bawah asuhan ayahnya dan juga bapa saudaranya bernama
Syeikh Mahmud. Keluarganya berasal dari Kota Padang, Indonesia yang berhijrah
ke Mekah.
Pengajian awal beliau bermula di Madrasah Saulatiyyah dan
pada masa sama, melazimi halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram yang
disampaikan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah di sana. Kemudian,
melanjutkan pengajian dan menamatkannya di Madrasah Dar al 'Ulum al Diniyyah,
Mekah.
Syeikh Yasin telah menimba ilmu daripada para ulama secara talaqqi
di mana Mekah pada ketika itu merupakan lubuk ilmu-ilmu Islam dan ulama.
Keberadaan di Mekah memberi kelebihan yang banyak kepadanya
kerana pada musim haji, beliau akan memanfaatkan waktu itu untuk menuntut ilmu
dan memohon ijazah daripada para ulama yang menunaikan fardu haji.
Antara guru yang paling kerap didampinginya dalam usaha
mendapatkan ilmu, makrifah dan pembentukan sahsiah ialah Sayyid Alawi bin Abbas
al-Maliki, Syeikh Muhammad Ali bin Husain al-Maliki, Al-'Allamah Syeikh Hasan
bin Muhammad al-Masysyat dan Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan
al-Mahrisi.
Hasil kesungguhannya menuntut ilmu tanpa jemu, menjaga adab
dan mempersembahkan khidmat yang terbaik kepada para gurunya, Syeikh Yasin
telah muncul sebagai salah seorang ulama di Mekah.
Beliau mula mengajar di Masjid al-Haram dan Madrasah Dar
al-'Ulum al-Diniyyah ketika umurnya belum mencecah 20 tahun.
Beliau juga seorang ulama berperwatakan sederhana, zuhud,
berlapang dada, mengasihi fakir miskin dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada
para penuntut yang datang ke Mekah.
Al-Muhaddith Syeikh Mahmud Said Mamduh menyatakan:
"Allah telah memuliakan saya dengan memberi peluang kepada saya melazimi
Sayyidi Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Beliau telah memberi perhatian khusus
kepada saya dan memerintahkan saya duduk di sebelah kanannya setiap kali saya
berada di dalam majlis pengajiaannya dan kedudukan saya ini tidak pernah
diambil oleh orang lain.
"Beliau juga membantu menyelia urusan pengajian saya di
sisi ulama Mekah dan menolong saya berkenaan dengan urusan kitab dan guru, di
samping apa yang saya pelajari secara terus daripadanya."
Malah dia juga sentiasa berakhlak dan menjaga adab terhadap
guru-gurunya. Beliau akan sentiasa berusaha menjaga hati mereka sebaik mungkin.
Selesai menulis syarah kitab al Luma' mengenai Usul
Fiqh yang bertajuk Bughyah al Musytaq bi Syarh Luma' Abi Ishaq setebal
dua jilid, beliau berhasrat mencetaknya tetapi dalam masa yang sama salah
seorang gurunya iaitu al-Qadhi Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi turut sama
selesai menulis syarah bagi kitab al-Luma' bertajuk Nuzhah al-Musytaq.
Maka Syeikh Yasin telah membatalkan niat untuk mencetak kitab
tersebut sebagai menjaga hati, memuliakan dan mendahulukan gurunya.
Setelah menghabiskan umurnya atas jalan ilmu dan dakwah,
Syeikh Yasin al-Fadani dijemput menemui Ilahi pada Zulhijjah 1410 Hijrah
bersamaan 1990 Masihi.
Pemergiannya adalah pemergian musnid terunggul pada zamannya.
Setelah kewafatannya, berkuranganlah kehadiran manusia yang datang dari jauh
dan dekat ke Mekah demi mendapatkan ijazah dan sanad yang tinggi.
Pengiktirafan Ahli Ilmu
Kedudukan Syeikh Yassin menjadikan beliau di antara ulama
tersohor di seluruh dunia Islam dan menjadi tujuan permusafiran mereka bagi
mendapatkan faedah ilmu dan merantaikan diri dengan sanadnya yang tinggi.
Pengiktirafan terhadap kedudukannya itu dapat dilihat apabila
gurunya al-Muhaddith al-Mujtahid Sayyid Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari
dengan katanya: "Di antara mereka daripada kalangan mereka yang
mengijazahkan saya ialah al-'Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.
Saya telah mengijazahkannya dan beliau pun mengijazahkan saya lalu kami saling
ijazah mengijazahkan antara satu sama lain. Beliau sekarang adalah Musnid
al-'Asr (Musnid Unggul Zaman)."
Mengenai kemahiran dan keilmuannya juga, Syeikh Mahmud Said
Mamduh menyatakan: "Syeikh kami al-'Allamah al-Fadani bukan hanya sekadar
seorang musnid, bahkan beliau adalah seorang alim yang menguasai segenap
disiplin ilmu Islam. Beliau menjadi tumpuan manusia meminta fatwa daripada
pelbagai ceruk rantau.
"Seringkali datang kepadanya soalan-soalan yang banyak
secara bertulis dari negeri-negeri Melayu Nusantara. Belia mengkhususkan
sebahagian daripada waktu malamnya untuk menjawab soalan-soalan itu.
"Ya, beliau menyibukkan dirinya dengan ilmu mengenai
isnad di akhir usianya, akan tetapi sebelum itu beliau telah menyibukkan
dirinya dengan ilmu-ilmu syarak, istilah dengan menyampaikan pengajian dan
dalam bentuk penulisan."
Murid-muridnya itu datang dari seluruh pelosok dunia Islam
bermula dari benua Afrika sehinggalah Asia Tenggara. Boleh dikatakan hampir
kesemua ulama, tuan guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara yang menuntut
ilmu di Mekah sekitar 1950 sehinggalah 1990 adalah daripada kalangan muridnya,
sama ada mengambil ilmu terus atau dengan pengijazahan sanad.
Berdasarkan fakta itu, sudah pastilah ia meliputi ribuan di
kalangan mereka baik dari bangsa ajam mahupun Arab.
Syeikh Yasin adalah lambang kebanggaan umat Melayu di tanah
Nusantara ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Yasin adalah
seorang ulama berdarah Melayu yang paling unggul di dunia Islam di mana dalam
beberapa sudut, tahap keilmuannya jauh mendahului ulama-ulama Islam dari bangsa
lain termasuk bangsa Arab sendiri.
Bahkan ulama-ulama di timur dan barat dunia Islam berusaha
untuk meriwayatkan ilmu dan sanad daripada beliau walaupun terpaksa menempuh
jarak yang jauh.
Kelahirannya dan keberadaannya di Mekah mengharumkan Tanah
Melayu Nusantara ini. Syeikh Yasin adalah lambang keunggulan, kehebatan dan
kegemilangan Islam yang sampai ke tanah ini di zaman silam.
No comments:
Post a Comment