(DARI kiri) Sayyid Alawi al-Maliki,
Syeikh Hasan al-Sya'ir dan anaknya Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.
SAYYID Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani
dilahirkan di Mekah pada 1328 Hijrah bersamaan 1910 Masihi. Beliau dibesarkan
dalam keluarga yang penuh dengan ketakwaan dan keimanan daripada jaluran
keturunan Sayyiduna Hasan bin Ali dan Sayyidah Fatimah al-Zahra' binti
Rasulullah.
Bapa dan datuknya adalah ulama terkemuka di Masjid al-Haram
di mana nenek moyangnya berhijrah dari Maghribi ke sana lantas mengharumkan
buminya dengan ilmu, amal dan takwa.
Sayyid Alawi menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun dan
mendapat pendidikan di Madrasah al-Falah dan menamatkannya pada 1346 Hijrah.
Pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai tenaga pengajar di madrasah
tersebut.
Kehadiran Sayyid Alawi di Mekah memberikannya peluang untuk
menuntut ilmu dari ulama-ulama unggul pada ketika itu. Antara guru terbabit
ialah bapanya Sayyid Abbas al Maliki, Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan
al-Mahrisi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Al-Allamah Sayyid Muhammad al-Arabi
al-Tabbani al-Hasani, Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi dan ramai lagi.
Demikian juga kehadiran ulama-ulama dari seluruh dunia ke
Kota Suci Mekah untuk menunaikan haji memberi kesempatan buat beliau memohon
ijazah dan sanad-sanad ilmu yang bernilai dan mereka telah berbesar
mengijazahkannya kepada ulama yang merupakan permata Masjid al-Haram itu.
Antara ulama dunia Islam yang mengijazahkannya ialah Syeikh
Ulama Mesir al-Allamah al-Mufti Muhammad Bakhit al-Muti'i, al-Muhaddith Sayyid
Alawi bin Tahir al-Haddad (bekas Mufti Kerajaan Johor), Sayyid Muhammad Abdul
Hayy al-Kattani, Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari, al-Qadhi Syeikh Yusuf
al-Nabhani, al-Imam Sayyid Ahmad al-Syarif al-Sanusi al Mujahid dan lain-lain
lagi.
Sayyid Alawi adalah lambang kemuliaan akhlak dan keluhuran
budi pekerti pada zamannya. Beliau adalah seorang mursyid yang berjiwa besar
dan memiliki keazaman yang tinggi. Keberadaannya disenangi dan disukai oleh
para ulama dan penuntut ilmu atas sifat belas kasih dan ihsan yang
dipersembahkannya.
Sayyid Alawi juga amat mengasihi para penuntut ilmu terutama
dari luar Mekah. Ramai di kalangan murid-muridnya terdiri daripada alim ulama
dari Tanah Melayu Nusantara.
Mereka pulang membawa ilmu yang dibekalkan olehnya dan
menjadi tuan-tuan guru yang disegani serta menjawat jawatan yang besar dan
utama di negeri masing-masing selaku mufti, pegawai agama dan guru-guru
pengajian Islam di sekolah-sekolah agama dan madrasah-madrasah tradisional.
Kesungguhan berdakwah
Sayyid Alawi memiliki kesungguhan yang luar biasa dalam
menyampaikan ilmu dan berdakwah ke jalan Allah. Jarang-jarang sekali beliau
bercuti dan meninggalkan kuliah pengajiannya walaupun dalam keadaan sakit.
Beliau pernah dinasihatkan berehar oleh doktor kerana dilanda
keuzuran tetapi beliau tetap meneruskan kuliah pengajiannya. Baginya ilmu
adalah penawar kesakitan dan kerehatan yang hakiki.
Begitu juga apabila beliau pulang daripada musafir, beliau
tidak terus mengambil cuti tetapi terus menyambung tugasnya sebagai tenaga
pengajar di Madrasah al-Falah.
Malah kemudian, beliau menyambung pula kuliah yang diadakan
di rumahnya. Diriwayatkan setiap hari Sayyid Alawi akan mengajar lebih kurang
40 subjek pengajian Islam tanpa merasa lemah dan jemu.
Ilmu dan kemahiran
Beliau adalah tiang penyangga Masjid al-Haram. Ilmu yang
disampaikannya adalah ilmu yang dinaqalkan daripada al-Quran dan sunnah.
Kemahirannya dalam ilmu-ilmu Islam seperti tafsir, hadis,
feqah, nahu, balaghah dan lain-lain ilmu Islam tidak dipertikaikan lagi. Tidak
hairanlah jika beliau telah ditauliahkan menyampaikan ilmu di halaqah Masjid
al-Haram ketika usianya belum mencecah 20 tahun.
Beliau telah mencurahkan bakti mengajar di Masjid al-Haram
serta telah dilantik sebagai jurunikah bertauliah oleh kerajaan Arab Saudi pada
ketika itu.
Beliau juga telah menulis lebih kurang 10 buah buku yang
kebanyakkannya telah dicetak di dunia Islam antaranya, al 'Iqd al-Munazzam
fi Aqsam al-Wahyi al-Mu'azzam, al-Manhal al-Latif fi Ahkam al-Hadith al-Dha'if dan
banyak lagi.
Koleksi sanadnya telah diterbitkan oleh anaknya al-Muhaddith
Prof. Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki di bawah tajuk al-'Uqud
al-Lu'lu'iyyah bi al-Asanid al-Alawiyyah dan Ittihaf zawi al-Himam
al-'Aliyyah bi Raf'i Asanid Walidi al-Saniyyah.
Sayyid Alawi juga memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki
oleh ramai ulama pada zamannya. Beliau adalah seorang penyair dan ahli sastera
yang masyhur serta mampu melontarkan syair Arab dalam keadaan bersahaja dan
spontan.
Keistimewaan ini diistilahkan dalam Bahasa Arab sebagai Hadhir
al-Badihah. Sebahagian koleksi syairnya itu boleh didapati dalam
biografinya yang bertajuk Safahat Musyriqah Min Hayah al-Imam al-Sayyid
al-Syarif Alawi ibn Abbas al-Maliki al-Hasani.
Antara kemahiran lainnya ialah dalam ilmu Sejarah Isla,m di
mana beliau adalah antara mereka yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh
Kerajaan Arab Saudi untuk menentukan had dan sempadan Tanah Haram di Mekah.
Kebolehan dan kemahirannya turut dikenal pasti dalam memberi
ceramah dan tazkirah apabila beliau sering menerima jemputan keudara di radio
Arab Saudi menyampaikani tazkirah pada hari-hari kebesaran Islam terutama pada
musim haji.
Sayyid Alawi kembali menemui Ilahi pada 25 Safar 1391 Hijrah
bersamaan 21 April 1971 Masihi. Jenazahnya diiringi oleh lautan manusia di mana
sejarah merakamkan bahawa dalam tempoh 200 tahun semenjak kelahirannya, tidak
pernah berlaku peristiwa manusia yang begitu ramai mengiringi jenazahnya.
Benarlah kata Imam Ahmad bin Hanbal bahawa yang membezakan di
antara seorang ahli sunnah dan ahli bidaah ialah hari diusung jenazahnya ke
perkuburan. Jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan al Ma'la Mekah di sisi
kubur neneknya, Sayyidah Khadijah binti Khuwailid.
No comments:
Post a Comment