expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 9 July 2012

Gambaran ngeri hari kiamat




USAI solat Isyak, saya duduk menunggu untuk mendengar hafalan anak murid. Tiba-tiba diselubungi satu perasaan, terfikir dan membayangkan bagaimana agaknya kehidupan selepas dijemput kematian? 


Bagaimana keadaan dalam kubur? Pernahkah kita terfikir bagaimana di Padang Masyar? Cukupkah amalan yang dilakukan? 


Saya jadi resah, cuba melarikan diri daripada bayangan itu namun tidak mampu. Sungguh rasa gerun, lantas segera ingin berkongsi beberapa perkara mengenai hari akhirat. Semoga ada manfaat untuk kita kongsi bersama. 


Hari kiamat adalah hari yang digambarkan sebagai musnahnya seluruh alam dan bumi serta kebangkitan semula. 


Kiamat berasal daripada perkataan Arab iaitu qiyam yang bermaksud bangkit atau bangun. Ketika hari kiamat tiba, terjadi goncangan bumi yang luar biasa dahsyat. 


Bumi akan memuntahkan seluruh isi perutnya, berhamburan dan hancur bertaburan. Lautan meluap dan terbelah. 




 
Gunung bergerak dan bergoncang keras, kemudian pecah berserpihan bagaikan butir pasir yang berserakan, berterbangan bagaikan kapas yang bertebaran di udara. Gunung yang menjulang tinggi itu pun tak ubahnya dengan fatamorgana, tak lagi meninggalkan bekas keperkasaannya. 


Al-Quran memberikan gambaran mengenai keadaan di langit ketika hari kiamat tiba. 


Bulan, matahari, bintang yang besar, bahkan sebahagian bintang itu lebih besar daripada bumi yang kita duduki ini, yang lebih terang jutaan kali dan sinarnya daripada matahari yang kita lihat. 




 
Semua itu akan hancur dan sinarnya menjadi pudar lalu padam. Matahari berlanggar dengan bulan. Gugusan langit akan luluh bagaikan barang-barang tambang yang diluluhkan dan mencair. Alam ini dipenuhi dengan asap tebal dan awan gelap. 


Dalam keadaan seperti itu, ditiup sangkakala, jerit kematian pun menyelubungi seluruh pelusuk. Ketika itu, semua manusia dan makhluk hidup mengalami kematian. Tidak sesuatu pun yang tersisa di dunia ini. Ketika itu, seluruh manusia merasa ketakutan dan panik. Mereka resah dan kebingungan, kecuali orang-orang mukmin yang memahami hakikat wujud ini, segala hikmah dan rahsianya, hati mereka tenggelam dalam makrifat dan mahabbah (cinta) kepada Allah SWT. 


Saya pernah menjadi guru al-Quran pada Ramadan di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma). 


Pengalaman setiap kali Ramadan selama tiga tahun menghasilkan pengalaman berbeza. Saat ini terbayang bagaimana kesan kejadian tsunami yang bukan saja meragut nyawa, harta, tapi juga semangat anak-anak kecil. 


Namun secara positif untuk kita yang dapat melihat, inilah antara kebesaran Allah SWT. Ini belum berlaku kiamat, bayangkan bagaimana keadaan kita waktu berlakunya kejadian berkenaan. Saat itu, taubat sudah tidak berguna, segala rintihan sudah tidak dapat didengari, yang tinggal hanya amalan kita sehari-hari. Bersyukurlah wahai diri dan semua pembaca, kita masih diberi peluang untuk bertaubat, berdoa dan menambah amalan. 


Saat kiamat tiba, tiada siapa dapat membantu, walau ibu ayah, sanak saudara dan suami isteri. Seperti yang diceritakan mengenai kiamat dalam Kitab Tanbihul Ghafilin ‘ Ikrimah berkata: Seorang ayah akan memegang anaknya pada hari kiamat dan berkata: “Saya ayahmu ketika di dunia. “ Maka anak itu memuji kebaikannya lalu ayah itu berkata: “Hai anak, kini saya berhajat kepada hasanatmu yang sekecil zarah, kalau-kalau saya dapat selamat dengan itu daripada apa yang kau lihat ini.” Jawab anaknya: “Saya juga takut daripada apa yang kau takutkan itu kerana tidak dapat memberikan kepadamu sedikitpun. “ Lalu pergi kepada isterinya dan berkata kepadanya: “Saya dulu suamimu di dunia. “ Maka dipuji oleh isterinya, lalu berkata: “Saya ini minta kepadamu satu hasanat, kalau-kalau saya boleh selamat daripada apa yang kau lihat ini. “ Jawab isterinya: “Saya juga takut daripada itu terhadap diriku seperti engkau.” Seperti firman Allah SWT yang bermaksud “Yang mereka nanti-nantikan hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka, atau kedatangan Tuhanmu, atau sebahagian tanda-tanda dari Tuhanmu. Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda dari Tuhanmu tidak berguna lagi iman orang yang belum beriman sebelum itu, atau berusaha berbuat kebajikan dengan imannya itu. Katakanlah, “Tunggulah! Kami pun menunggu. (surah Al-An’am:158) 


Kita sepatutnya bersyukur kerana masih diberi peluang dan gambaran mengetahui mengenai kiamat supaya kita dapat membuat persediaan. Ayuh para pembaca, jangan sampai sudah tiba saatnya baru kita hendak bertaubat. Sabda junjungan besar Rasulullah SAW yang berbunyi: ”Belum akan tiba kiamat melainkan matahari akan terbit dari barat. Jika berlaku keadaan itu, maka seluruh umat manusia akan beriman. Saat itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang kepada dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” (HR. Bukhari dan Muslim) 


Sungguh hari kiamat bukanlah cakap-cakap kosong tapi janji Allah untuk kita makhluknya, firman Allah SWT: “Sungguh, apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar, dan sungguh, (hari) pembalasan pasti benar (surah Adz-dzariyyat: 5-6) dan “Sesungguhnya hari kiamat benar-benar akan datang tidak ada keraguan di dalamnya. (surah Ghafir: 59) 


Banyak sabda baginda Rasulullah SAW yang menggambarkan tanda-tanda kiamat untuk kita berhati-hati dan bersedia menghadapi hari itu yang juga hari terakhir kehidupan di dunia yang fana ini, antaranya ialah: Seorang Arab Badwi bertanya, “bilakah tibanya kiamat?” Nabi SAW lalu menjawab, “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah kiamat.” Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana hilangnya amanat itu, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, “Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR. Bukhari) 


Berlakunya penyembahan berhala seperti zaman jahiliah, belum terjadi kiamat sehingga orang-orang daripada umatku kembali menyembah berhala-berhala selain Allah (HR. Abu Dawud). 


Dan apabila manusia sudah tidak merasa nikmat kehidupan yang mana hidup di dunia adalah jambatan atau ladang menuju akhirat untuk merasa manis dan indahnya beramal ibadah, belum terjadi kiamat sebelum seorang yang melewati kuburan berkata, “Alangkah baiknya jika aku di tempat orang ini.” (maksudnya, dia ingin mati dan tidak ingin hidup kerana beban berat yang selalu dihadapinya). (HR Bukhari) 




 
Antara tanda lain ialah saat hilangnya di bibir umat Islam kalimah Allah, diganti dengan kalimah yang tidak sepatutnya, belum akan kiamat sehingga tidak ada lagi di muka bumi orang yang menyebut: “Allah, Allah.” (hadis riwayat Muslim) 


Terjadinya tragedi pembunuhan yang berleluasa, saat itu pembunuh sudah tidak mengira mangsa, malah sanak saudara juga dibunuh mengikut nafsu dan marah yang menyerap dalam diri, Belum akan datang kiamat sehingga seorang membunuh tetangganya, saudaranya dan ayahnya. (HR. Bukhari) 



Juga apabila kita sibuk menghias dan membina masjid yang besar dan megah, sedangkan jemaah yang hadir untuk solat jemaah tidak pun sampai memenuhi suku ruang masjid, belum akan datang kiamat sehingga manusia berlumba-lumba membangun dan memperindah masjid. (hadis riwayat Abu Dawud) 


Ada yang kita tidak perasan sedangkan itu ialah antara tanda-tanda kiamat iaitu berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit untuk menunjukkan kehebatan dan kemegahan yang mana tatkala Allah menunjukkan kemegahannya semua akan hancur berkecai. Belum akan datang kiamat sehingga manusia berlumba-lumba dengan bangunan-bangunan yang megah. (HR. Bukhari) 




Juga antara tanda lain ialah bila kepandaian dan kepakaran sudah tidak diambil kira. Minum arak ibarat meminum air biasa, kes-kes zina yang tidak dipandang berat, dan banyaknya perempuan melebihi lelaki. Antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu terangkat, kebodohan menjadi dominan, arak menjadi minuman biasa, zina dilakukan terang-terangan, wanita berlipat banyak, dan lelaki berkurangan sehingga 50 wanita berbanding seorang lelaki. (HR. Bukhari) 


Sebelum saya mengakhiri nukilan minggu ini, sepotong hadis yang sungguh menggerunkan dan mampu menjadi pengukur aras dalam setiap amalan kita di dunia ialah sabda baginda SAW: “Seorang anak Adam sebelum menggerakkan kakinya pada hari kiamat akan ditanya mengenai lima perkara: (1) Umurnya, untuk apa dihabiskannya; (2) Masa mudanya, apa yang telah dilakukannya; (3) Hartanya, daripada sumber mana dia peroleh dan (4) dalam hal apa dia membelanjakannya; (5) dan Ilmunya, mana yang dia amalkan. (hadis riwayat Ahmad) 


Kepada para pembaca, dalam setiap niat, amal, langkah dan umur, ingatlah segalanya akan dihitung, baik yang jelas di mata atau tersembunyi jauh di lubuk hati. Segala amanah akan dipersoalkan, segala gerak geri akan dipertontonkan. 


Semoga kita bukan antara yang akan diaibkan di akhirat kelak.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com