Nabi Ibrahim
adalah rasul yang mendapat gelaran Ulul Azmi iaitu rasul yang mempunyai
keazaman dan kesabaran yang tinggi dalam menyampaikan dakwah dan menyempurnakan
tanggungjawab kerasulan. Baginda menempuh pelbagai kesukaran dalam menyampaikan
seruan Ilahi kepada kaumnya.
Baginda dilahirkan dalam keluarga yang kuat ‘beragama’. Kerjaya bapa Baginda sebagai pengukir berhala memberikan kedudukan yang amat dihormati dalam masyarakat ketika itu.
Persoalan
yang hendak ditimbulkan di sini ialah Nabi Ibrahim sendiri sangsi dengan
kemampuan ‘tuhan’ yang diukir bapanya. Adakah ‘tuhan’ ini mampu mendatangkan
mudarat atau manfaat kepada penyembahnya? Begitu juga dengan perlindungan yang
diharapkan daripada ‘ tuhan-tuhan’ tersebut, adakah mereka mampu memberikannya?
Dari sini timbul rasa sangsi dalam diri Nabi Ibrahim. Baginda mula mencari jawapan kepada persoalan yang semakin menghantui dirinya.
Perkara yang
menarik berlaku apabila Baginda mula memerhatikan alam. Melihat bintang yang
bercahaya dengan indah, maka baginda memperakukan ‘ketuhanan’ bintang, tetapi
tatkala bulan menelan cahaya bintang, Baginda menukar perakuan kerana bagi
Baginda, tuhan tidak boleh ditelan oleh yang lain atau lenyap dibayangi oleh
yang lain.
Begitulah perjalanan ketauhidan baginda sehinggalah Baginda menemui kebenaran menerusi hidayah yang diberikan Allah. Baginda kembali kepada kaumnya bagi menyampaikan dakwah dan menyelamatkan mereka daripada kesesatan.
Usaha Baginda mendapat penentangan yang hebat daripada kaumnya. Perdebatan siapakah tuhan semakin hangat. Cabaran yang diberikan ketika debat ‘ketuhanan’ oleh Nabi Ibrahim begitu bernas.
Mereka terkedu dan terdiam apabila Nabi Ibrahim meminta mereka bertanya kepada berhala yang terbesar mengenai siapa yang memecahkan berhala lain. Jika berhala tersebut gagal memberikan jawapan, maka sememangnya ia tidak layak untuk dipertuhankan.
Perdebatan itu tidak berhenti di situ. Tatkala hujah mereka yang sesat dapat dipatahkan, maka mereka mengusulkan agar Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.
Allah Maha
Besar, Dialah yang menukar sifat api yang panas membakar kepada dingin lagi
mendamaikan bagi menyelamatkan Rasul-Nya.
Nabi Ibrahim telah mendapat keyakinan yang kukuh lagi benar bagi berhadapan dengan kesesatan kaumnya. Baginda yang ketika ini masih muda beroleh kekuatan daripada hidayah yang diberikan Allah.
Fasa
kehidupan
Jika direnung daripada kisah ini, usia muda adalah satu fasa kehidupan yang dipenuhi dengan kemelut diri. Bermula dari kemelut pemikiran, identiti, akidah dan keyakinan, potensi diri sehinggalah ke kemelut pengiktirafan dalam masyarakat.
Nabi Ibrahim bergelut dengan kemelut keyakinan terhadap kepercayaan tradisi yang mengangkat berhala sebagai tuhan. Baginda akhirnya memperoleh kaedah berfikir yang betul sebelum menerima bimbingan terus dari Allah berupa hidayah yang benar.
Generasi muda hari ini juga berhadapan dengan keadaan yang sama. Kita juga sedang bergelut dengan kemelut keyakinan dan kemelut pemikiran.
Resam orang muda seperti yang dipaparkan dalam kisah Nabi Ibrahim adalah berusaha mencari jawapan yang meyakinkan dan dapat memuaskan hati. Sikap menolak untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan generasi muda akan menyebabkan generasi muda hilang keyakinan dan pedoman. Ia akhirnya melahirkan krisis keyakinan dan kepercayaan.
Dalam kisah Nabi Ibrahim ini sikap ayah Baginda yang mula marah dan menyekat pertanyaan Baginda tidak mampu meleraikan kekusutan yang semakin menjadi-jadi dalam jiwa baginda.
Maka hentikanlah sikap memperkecil-kecilkan orang muda yang perlukan jawapan terhadap persoalan kehidupan yang ditimbulkan. Jangan memperlekeh pandangan orang muda dengan menafikan cara mereka berfikir. Jangan diungkapkan di hadapan mereka bahawa mereka dipergunakan atau diracuni oleh pihak tertentu demi kepentingan tertentu.
No comments:
Post a Comment